KELAB gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan dominasi bola sepak tempatan apabila menamatkan saingan Liga Super 2025/2026 tanpa kalah sambil mencipta rekod jaringan paling tinggi dalam sejarah kelab itu.
Skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz meledak 117 gol daripada 24 perlawanan dengan purata 4.8 jaringan setiap aksi selain hanya dibolosi 10 kali sepanjang musim.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan JDT mencipta rekod ‘The Invincibles’ buat kali kelima selepas turut melakukannya pada musim 2016, 2022, 2023 dan 2024/2025.
Munoz memuji komitmen serta konsistensi dipamerkan barisan pemainnya meskipun terpaksa mengharungi jadual padat membabitkan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC).
“Kita bukan sahaja mencatat rekod jaringan tertinggi, malah berjaya menyamai rekod dunia bagi pasukan yang tidak pernah kalah dalam saingan liga.
“Semua ini hadir daripada usaha keras pemain yang sentiasa komited dan konsisten dalam setiap perlawanan,” katanya selepas JDT membelasah Kelantan The Real Warriors 14-1 di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin.
Kemenangan tersebut turut menyaksikan JDT menyamai rekod kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas yang pernah mencatat 108 perlawanan liga tanpa kalah antara tahun 1989 hingga 1994.
Munoz berkata, momentum cemerlang itu diharap dapat menjadi pembakar semangat pasukan menjelang aksi timbal balik separuh akhir kedua ACC menentang Buriram United, Rabu ini.
Selain itu, beliau turut menyifatkan kejayaan mara ke suku akhir ACLE musim ini sebagai satu pencapaian membanggakan buat kelab.














