fbpx
MAHMUD Ali Bashah yang kini sedang mengerjakan haji ditemui di Hotel Penginapan Kiswah, Mekah.

Haji ubah perjalanan hidup Mahmud Ali Bashah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Pelakon Mahmud Ali Bashah mengakui pengalaman menunaikan haji pada usia 66 tahun membuka ruang muhasabah mendalam buat dirinya selepas tiga dekad mengejar kesibukan dunia seni.

Menurut anak kelahiran Sarawak itu, peningkatan usia selain kehilangan ramai rakan seperjuangan dalam dunia seni membuatkan dia mula lebih memikirkan soal kematian, bekalan akhirat dan keperluan berubah menjadi insan lebih baik.

Katanya, ketika muda dia terlalu sibuk mengejar kerjaya sehingga pernah melalui fasa zaman gelap dan mengabaikan kehidupan beragama.

“Bila umur semakin meningkat, kita mula fikir tentang kematian. Dulu masa muda, kita sibuk dengan kehidupan sendiri, kerja, dunia glamor dan macam-macam lagi sampai kadang-kadang lupa tentang agama.

“Tapi bila sampai ke Tanah Suci dan melihat suasana orang beribadah, memang timbul kesedaran untuk berubah menjadi lebih baik dan lebih memikirkan akhirat,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mahmud Ali berkata, pengalaman berada di Mekah dan Madinah memberi ketenangan berbeza selain membuatkan dirinya lebih menghargai kehidupan.

Dalam pada itu, beliau berkongsi pernah tersilap memahami proses pendaftaran haji sehingga menyebabkan dirinya terpaksa menunggu lebih 30 tahun sebelum berpeluang menunaikan ibadah itu.

Katanya, ketika membuka akaun Tabung Haji sekitar usia 30 tahun, dia menyangka simpanan dalam akaun sudah memadai dan proses pendaftaran haji berlaku secara automatik.

“Saya ingat bila buka akaun dan simpan duit dalam Tabung Haji, itu sudah dikira daftar haji. Rupanya kena buat pendaftaran.

“Bila sedar perkara itu, memang sudah lambat dan terpaksa tunggu giliran lama. Sebab itu saya buat rayuan sampai tiga kali sebelum berjaya,” katanya.

Tambahnya, selepas lebih tiga dekad aktif dalam dunia lakonan di Kuala Lumpur, dia kini memilih untuk kembali menetap di kampung halaman bagi menjalani kehidupan lebih tenang.

“Saya rasa ini masa untuk diri sendiri pula. Selama ini kehidupan dalam dunia seni nampak mudah, tetapi sebenarnya banyak mengorbankan masa dan tenaga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN