PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO terus kekal utuh dan relevan selepas lapan dekad perjuangan hasil kesetiaan ahli-ahli yang tidak pernah luntur mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Menurut beliau, sambutan ulang tahun ke-80 parti itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan semangat perjuangan UMNO masih kukuh dalam kalangan akar umbi.
“Kehadiran ribuan ahli dari seluruh negara, semangat yang ditunjukkan serta kesetiaan akar umbi yang tidak pernah padam benar-benar menyentuh hati saya.
“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh ahli UMNO di seluruh negara yang terus setia bersama perjuangan ini,” katanya menerusi kenyataan sempena ulang tahun ke-80 UMNO hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sepanjang 80 tahun penubuhannya sejak 11 Mei 1946, UMNO telah melalui pelbagai cabaran termasuk krisis politik, perpecahan serta perubahan landskap semasa, namun tetap berdiri teguh.
Katanya, kekuatan parti itu bukan terletak pada nama semata-mata tetapi pada jiwa perjuangan ahlinya yang terus setia bersama parti keramat tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa gembira apabila semakin ramai golongan muda memilih untuk menyertai UMNO menerusi pendaftaran keahlian secara dalam talian.
“Ini memberi isyarat bahawa UMNO terus bergerak seiring peredaran zaman dan masih diyakini sebagai wadah penting dalam mempertahankan kestabilan serta masa depan negara,” ujarnya.
Beliau berkata, perjuangan UMNO masih belum selesai dan masih banyak perkara perlu dibina, disatukan serta diperbetulkan demi generasi akan datang.
“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan kekuatan akar umbi, UMNO akan terus melangkah gagah menuju usia 100 tahun sebagai rumah besar perjuangan bangsa,” katanya.- KOSMO! ONLINE














