fbpx
PEMUDA menjalani PKM termasuk mencuci tandas awam di Taman Rekreasi Gunung Keriang, Alor Setar hari ini.

‘Tak sangka kena cuci tandas awam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang pemuda mengakui perbuatan membuang puntung rokok merata-rata sudah menjadi tabiatnya selama ini sebelum ditahan dan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan tersebut pada Khamis lalu.

Menurut Amzar, 20, dia tidak menyangka kesalahan itu membawa kepada tindakan mahkamah sehingga perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Taman Rekreasi Gunung Keriang, di sini hari ini.

Dia dikenakan hukuman denda RM500 dan PKM selama enam jam dalam tempoh empat bulan.

“Memang saya buang puntung rokok dekat kawasan parkir kereta di Simpang Kuala pada Januari lalu. Waktu itu tong sampah ada tetapi agak jauh.

“Disebabkan sudah jadi kebiasaan dan tabiat, saya terus buang puntung rokok begitu sahaja,” katanya ketika ditemui pada Program PKM Siri Ke-8, di Taman Rekreasi Gunung Keriang.

Dia yang baru berhenti kerja sebagai jurujual motosikal berkata, pengalaman mencuci tandas awam sepanjang menjalani hukuman itu benar-benar memberi pengajaran kepadanya.

“Memang penat cuci tandas, selepas ini saya tidak akan buat lagi,” ujarnya yang menerima hukuman itu dengan hati terbuka kerana mengakui kesilapan sendiri.

Program itu dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebagai hukuman terhadap individu yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

PKM Siri Ke-8 dilaksanakan serentak di Kedah, Melaka, Pahang dan Johor melibatkan keseluruhan 55 pesalah di bawah akta berkenaan.

Di Kedah, seramai 24 pesalah termasuk penjawat awam dan pelajar institusi pengajian tinggi berusia antara 19 hingga 55 tahun menjalani PKM di Taman Rekreasi Gunung Keriang dan Pantai Chenang, Langkawi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN