BUKIT KAYU HITAM – Dua lelaki Thailand gagal menyeludup kira-kira 1,000 liter petrol RON95 menggunakan dua buah pikap ke negara mereka apabila ditahan di laluan keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, tangkapan terhadap kedua-dua suspek yang memandu pikap bernombor pendaftaran asing itu dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am kira-kira pukul 6.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas dua pikap jenis Toyota Hilux itu mendapati masing-masing membawa kira-kira 500 liter petrol RON95.
“Terdapat pengubahsuaian serta pemasangan tangki tambahan pada kenderaan tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Susulan itu, kedua-dua suspek ditahan manakala petrol serta kenderaan turut disita dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM104,200.
“Kedua-dua suspek kemudian diserahkan kepada KPDN Kubang Pasu untuk proses rakaman percakapan dan dokumentasi bagi pembukaan dua kertas siasatan. Mereka telah dijamin polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














