PETALING JAYA – Sepasang suami isteri tersentuh hati apabila disapa seorang warga emas yang meminta bantuan mereka untuk menghantar beg simen ke rumahnya ketika sedang hujan lebat, baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh pengguna @atekaazman, kejadian itu bermula apabila dia dan suaminya dalam perjalanan pulang dari rumah mentua sebelum terserempak dengan lelaki warga emas terbabit yang sedang berjalan sendirian dalam keadaan hujan lebat.
“Masa nak balik dari rumah mentua, nampak pak cik ini jalan seorang dalam hujan dan tiba-tiba dia tanya boleh tolong dia atau tidak untuk menghantar simen ke rumahnya.
“Dia beli dekat kedai depan rumah tapi mungkin staf dekat situ tak boleh nak hantar, jadinya kami ambil keputusan untuk tolong sahaja sebab kesian tengoknya,” katanya.
Tambahnya, faktor cuaca dan keadaan fizikal warga emas tersebut yang berjalan terlalu perlahan menyebabkan mereka tidak sampai hati untuk membiarkan dia menolak troli simen itu sendirian.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji tindakan sepasang suami isteri terbabit.
“Semoga dipermudahkan urusan kamu yang menolong. Kira sedekah sahaja dekat pak cik itu, tengok keadaan pun kita boleh tahu kan,” kata pengguna @Nononana04.
“Alhamdulillah, sifat sayang menyayangi sesama insan. Hanya Allah yg membalas jasa anda,” kata pula pengguna @Ijah0907meletup.
“Pak cik ini jiran belakang rumah saya dan anak dia perempuan OKU, tapi dia yang jaga pak cik itu. Memang hari-hari dia menapak ke kedai, jalan pun perlahan sahaja sambil tolak troli,” ujar pengguna @Zxtisham.
Hantaran itu sehingga kini dihujani komen positif daripada orang ramai yang rata-ratanya memuji keprihatinan pasangan berkenaan dalam membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang. – KOSMO! ONLINE














