PETALING JAYA – Seorang saintis kelahiran Malaysia mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan berprestij Breakthrough Prize dalam bidang Sains Hayat pada majlis yang berlangsung di Los Angeles, baru-baru ini.
Penghargaan yang sering digelar sebagai ‘Oscars of Science’ itu diberikan atas kejayaan penyelidikan Dr. Swee Lay Thein berkaitan mekanisme pertukaran hemoglobin janin kepada hemoglobin dewasa, sekali gus membuka jalan kepada rawatan inovatif bagi penyakit anemia sel sabit dan beta talasemia.
Saintis tersebut menerima anugerah berkenaan bersama pakar hematologi terkemuka, Dr. Stuart H. Orkin dari Harvard Medical School dengan membawa pulang USD$3 juta (kira-kira RM14 juta) selepas kajian mereka membuktikan sasaran genetik yang boleh dimanipulasi untuk menghasilkan hemoglobin janin secara berterusan.
Menerusi tayangan semula majlis anugerah itu yang dikongsikan pengguna media sosial, sebuah video dimainkan di skrin layar menceritakan tentang penemuan tersebut dan kemudiannya membawa kepada pembangunan terapi penyuntingan gen CRISPR pertama yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA).
Terapi berkenaan membolehkan pesakit terus menghasilkan hemoglobin janin yang sihat, sekali gus menghalang penghasilan hemoglobin dewasa yang rosak dan mengurangkan komplikasi penyakit darah kronik tersebut.
Ketika menyampaikan ucapan penerimaan anugerah, Lay Thein berkongsi kenangan zaman kecilnya yang tidak pernah membayangkan akan berdiri di pentas berprestij dunia.
“Sebagai seorang kanak-kanak yang sering bermain bersama abang-abang saya di landasan kereta api lama di Malaysia, saya tidak pernah membayangkan akan berada di sini hari ini,” katanya.
Beliau berkata, perjalanan lebih dua dekad dalam bidang penyelidikan dipenuhi cabaran, namun semangat, minat mendalam terhadap sains dan ketabahan menjadi pemangkin kejayaan tersebut.
Katanya, pengiktirafan itu juga didedikasikan kepada ibunya, mentor, pelajar, rakan kolaborasi serta pesakit yang menjadi inspirasi sepanjang perjalanan kerjaya akademiknya.
Lay Thein kini berkhidmat sebagai ketua dan penyelidik kanan di Sickle Cell Branch, U.S. National Heart, Lung and Blood Institute.
Anugerah Breakthrough Prizes yang memasuki tahun ke-14 penganjurannya diwujudkan bagi meraikan keajaiban era sains moden serta kemajuan luar biasa dalam bidang penyelidikan dan inovasi. – KOSMO! ONLINE














