SHAH ALAM – Dakwaan tular kejadian cubaan samun berdekatan Elmina Lakeside Mall di sini, semalam didapati hanya salah faham akibat kemalangan kecil antara dua pihak.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kedua-dua pemandu kenderaan itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira jam 10.30 malam tadi bagi dirakam percakapan.
Jelas beliau, pihaknya mendapati terdapat percanggahan keterangan antara kedua-dua individu tersebut.

“Pemandu Perodua Bezza itu mendakwa kenderaannya dilanggar dari arah belakang ketika berada dalam keadaan parkir di bahu jalan. Namun, pemandu Perodua Myvi pula mendakwa Bezza yang berada di hadapannya mengundur sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya petang ini.
Tambah Ramsay, susulan kejadian itu, pemandu Myvi bertindak mengejar kenderaan bagi membincangkan insiden kemalangan berkenaan.
“Kes itu disiasat dari sudut kemalangan jalan raya dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan” ujarnya.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial mendakwa terdapat cubaan samun menggunakan taktik langgar serta kejar di kawasan Elmina Lakeside Mall. – KOSMO! ONLINE














