Lorong-lorong di pusat bandar Kuala Lumpur bakal berwajah berbeza selepas gelap apabila program seni kontemporari, Warung TERANG memperkenalkan pengalaman projection mapping bergerak yang lebih dekat dengan orang ramai.
Berlangsung dari 8 hingga 17 Mei ini, sebanyak enam karya seni akan ‘berpindah’ merentasi beberapa lokasi termasuk Jalan Tun H.S Lee, Jalan Sang Guna, Muzium
Telekom dan River of Life sebagai cara mengajak pengunjung menyelami gabungan cahaya, bunyi dan cerita budaya dengan lebih dekat.
Karya seni menarik berwarna-warni ‘dipancarkan’ ke persekitaran.
Dibangunkan oleh Filamen, Warung TERANG merupakan penerokaan berterusan terhadap bagaimana seni digital kontemporari boleh wujud secara bebas dalam ruang bandar, melangkaui pemasangan tetap kepada format yang lebih interaktif antara karya, artis dan khalayak.
Dengan sokongan Think City, program ini menjadi sebahagian daripada KL Fest yang turut berperanan menghidupkan semula ruang bandar yang sering sepi selepas waktu malam.
Berteraskan tema pasar, Warung TERANG mengambil inspirasi daripada budaya pasar Asia Tenggara bahawa ruang bukan sekadar transaksi barangan tetapi juga pertukaran idea, perbualan dan pengalaman budaya.
Menurut Pengasas Bersama Filamen, Abdul Shakir Abu Samah atau juga dikenali sebagai ‘Grasshopper’, konsep pasar menjadi asas kepada pengalaman ini.
“Dalam pasar, ia bukan sekadar tentang apa yang dijual tetapi tentang manusia, perbualan dan cerita yang bergerak dalam ruang itu.
“Melalui Warung TERANG, kami mahu membawa semangat itu ke pusat bandar, di mana pengunjung bukan sekadar menonton tetapi menjadi sebahagian daripada pengalaman,” katanya.
Menggabungkan aktiviti siang dan malam, ia menampilkan bengkel pada waktu siang serta aktivasi atau pancaran jalanan pada waktu malam.
Minggu pertama (8 dan 10 Mei 2026) menampilkan karya seni di River of Life di sekitar Pasar Seni dan Jalan Sang Guna. Minggu kedua (15 hingga 17 Mei 2026) pula menampilkan karya seni di Jalan Sang Guna, Jalan Tun H.S. Lee dan River of Life di sekitar Pasar Seni.

Projection mapping akan digerakkan bersama REAVANG, sebuah platform terbuka yang memberi ruang kepada artis dan penggiat kreatif bereksperimen dengan visual dan bunyi dalam suasana bandar secara langsung.
Apabila malam menjelma, kawasan pusat bandar berubah menjadi ruang dipenuhi warna dan bunyi, mendorong orang ramai untuk berjalan santai dan menghayati semula ruang yang sebelum ini mungkin hanya dilalui tanpa disedari.
Kehadiran artis di lokasi turut membuka peluang kepada pengunjung melihat proses di sebalik tabir, berinteraksi dan berkomunikasi secara langsung dengan karya yang dipersembahkan.
Edisi sulung Warung TERANG menghimpunkan artis dari Asia Tenggara termasuk Fairuz Sulaiman, kolektif visual Fonetikar serta artis multimedia Tan Ji Kean, artis Indonesia seperti The Fox, The Folks, Story of Karana dan Hue yang mengangkat pengalaman harian serta interaksi dalam ruang pasar melalui visual, audio dan interaksi langsung.
KL Fest yang berlangsung dari 6 hingga 31 Mei ini menghimpunkan lebih 80 acara dan lebih 700 jam pengisian yang kebanyakan adalah percuma kepada umum.
Dianjurkan oleh Think City dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta disokong Kementerian Kewangan dan Jabatan Wilayah Persekutuan, festival itu bertujuan menghidupkan semula bandar melalui budaya, selari dengan inisiatif Visit Malaysia 2026, Warisan KL dan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Bandar Kreatif
Reka Bentuk Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).














