PETALING JAYA – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan menyerahkan sepenuhnya kepada penduduk kawasan itu untuk menilai prestasi serta menentukan masa depan politiknya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, segala analisis politik yang meletakkan kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam kategori berisiko tinggi tidak harus dijadikan ukuran mutlak kerana penilaian sebenar datang daripada rakyat di kawasan berkenaan.
“Semua orang ada pendapat, semua orang ada analisis sendiri. Tapi bagi saya, saya seorang yang berorientasikan khidmat.
“Setiap program yang saya buat fokus kepada penduduk yang duduk sini (Sungai Buloh), khidmat saya untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sumbangan Pelajar Cemerlang Parlimen Sungai Buloh di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai analisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Menurut beliau, rakyat sendiri lebih layak menentukan sama ada beliau berada dalam kedudukan baik atau sebaliknya berdasarkan khidmat yang telah diberikan sepanjang menjadi wakil rakyat.
“Biar mereka tentukan sama ada kita dalam kedudukan bagus ke tak bagus. Apa pun, semua orang ada pendapat dan analisis. Kalau kita lihat sebelum ini pun, ramai yang buat analisis, tetapi akhirnya keputusan pilihan raya berbeza,” ujarnya.
Naib Presiden PKR itu turut mempersoalkan kaedah analisis yang dibuat kerana didakwa tidak semestinya mencerminkan pandangan keseluruhan lebih 180,000 penduduk di Sungai Buloh.
“Saya tak boleh komen banyak sebab analisis itu mungkin dibuat berdasarkan pandangan 100 atau 200 orang sahaja, bukan keseluruhan penduduk di Sungai Buloh. Selebihnya mungkin sekadar andaian.
“Sebab itu saya tak ambil serius perkara ini. Bagi saya, saya akan terus buat yang terbaik dan kerja sehabis mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE














