PETALING JAYA – Pelakon Puteri Aishah tampil bersuara apabila terdapat segelintir individu mengkritik kualiti lakonan rakan seperjuangannya, aktres Nabila Huda dalam media sosial baru-baru ini.
Menurutnya, bakat lakonan Nabila adalah luar biasa terutama kehebatan membuat persembahan pentas yang tidak semua anak seni mampu melakukannya.
“Dia sangat berbakat. Tidak ramai orang boleh berlakon atas pentas begini.
“Dia ada ‘high stage presence’ and tak semua orang ada,” katanya dalam platform Threads.
Tambahnya, dia juga mengakui Nabila mempunyai kehebatan dalam melakukan transisi emosi ketika berpeluang berlakon bersama sebelum ini.
“Pernah satu bingkai bersama, dia boleh gelak-gelak kemudian ‘action’ kemudian boleh menangis begitu sahaja.
“Setiap dialog yang dia bagi, saya boleh rasa.
“Kalau tak pernah berlakon atas pentas atau di set penggambaran, tolong jangan mudah membuat penilaian,” katanya lagi.
Terdahulu, tular sebuah hantaran dalam Threads apabila seorang individu berpendapat bakat lakonan dimiliki Nabila tidak sehebat yang digembar-gemburkan khalayak sebelum ini.
“Kalau nak jujur. Nabila berlakon biasa saja. Selalunya kalau dia dalam televisyen atau filem, nampak betul dia berlakon, bukan memainkan watak dan hidupkan watak itu.
“Dia hanya berlakon, jadi biasa saja. Mungkin sebab ‘hype’ pelakon berkulit sawo matang tidak ramai,” ujar individu tersebut. – KOSMO! ONLINE














