fbpx
MOHD. Hisham Harun (tengah) bergambar bersama sebahagian Sahabat Maktab selepas Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Sahabat Maktab di Mekah semalam.

Datang bukan sekadar beribadat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Jemaah Malaysia yang menyertai program Sahabat Maktab bukan sekadar untuk beribadat, tetapi juga membantu tetamu Allah bagi membantu melancarkan operasi musim haji tahun ini.

Walaupun hadir untuk menunaikan rukun Islam kelima, mereka memilih untuk memikul amanah membantu petugas Lembaga Tabung Haji (TH) menguruskan kebajikan dan pergerakan jemaah lain sepanjang berada di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, justeru itu sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila lebih 600 permohonan diterima oleh pihaknya.

Bagaimanapun katanya, hanya 180 individu berusia antara 18 tahun dan 51 tahun dipilih berdasarkan tahap kesihatan, kemampuan fizikal dan kesediaan untuk berkhidmat.

“Mereka ini bukan sahaja datang untuk menunaikan ibadah haji, tetapi sanggup mengorbankan masa dan tenaga membantu jemaah lain.

“Dalam operasi besar seperti di Masyair, bantuan mereka sangat penting terutama ketika pergerakan jemaah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Sahabat Maktab di sini semalam.

Menurut Mohd. Hisham, Sahabat Maktab dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Sahabat Hujaj, Sahabat Medik dan Sahabat Ibadat mengikut peranan masing-masing.

Katanya, mereka membantu memastikan jemaah ditempatkan di lokasi yang betul selain melancarkan urusan naik dan turun bas ketika operasi Masyair.

Sementara itu, seorang Sahabat Maktab, Hairul Iswandy Kadai, 47, berkata, dia berpandangan ibadat tidak terbatas kepada solat, bacaan al-Quran dan zikir semata-mata.

“Pada saya membantu orang lain juga satu ibadah. Kalau kita boleh guna tenaga dan kudrat untuk mudahkan urusan jemaah lain, itu juga pahala Insya-Allah. Sejak zaman belajar saya aktif dengan kerja sukarela dan semangat itu masih ada sampai sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi jemaah, Nik Fatin Farahanim Nik Azri berkata, dia dan suami, Muhammad Amirul Hakim Azmi tidak menyangka peluang menunaikan haji pada usia 25 tahun bukan sahaja menjadi rezeki luar biasa buat mereka, malah turut membuka ruang berbakti sebagai Sahabat Maktab.

Nik Fatin Farahanim berkata, dia dan suami terpanggil menyertai program sukarelawan itu selepas melihat perkongsian pengalaman peserta musim lalu.

“Kami tengok menarik sebab dapat tolong orang. Kami memang suka bantu orang dan dalam masa sama boleh belajar benda lain serta cari pengalaman baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN