fbpx
Gambar hiasan

‘P. Pinang negeri terbaik untuk didiami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib menzahirkan rasa berpuas hati dengan usaha pelaksanaan pembangunan Pulau Pinang sehingga diiktiraf sebagai negeri terbaik untuk didiami secara keseluruhan.

Menerusi ucapannya Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15, hari ini, beliau berkata, ini berdasarkan data serta pelbagai indikator utama termasuk kualiti hidup, kos sara hidup, kesejahteraan rakyat dan infrastruktur oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Sejajar dengan pelbagai inisiatif, program dan pencapaian yang telah dibentangkan, saya berpuas hati bahawa usaha-usaha pembangunan negeri yang dilaksanakan berada pada landasan yang teratur dan berterusan.

“DOSM bagi tahun 2026 telah meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri terbaik untuk didiami secara keseluruhan.

“Pengiktirafan ini mencerminkan keseimbangan yang berjaya dicapai antara pertumbuhan ekonomi, kemudahan awam, kualiti persekitaran hidup serta daya tarikan kepada pelabur dan komuniti,” katanya.

Menelusuri potret kegemilangan tersebut jelasnya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow serta seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atas komitmen yang berterusan.

“Usaha yang digerakkan ini jelas memperlihatkan kepimpinan yang berwawasan dalam memastikan Pulau Pinang terus kekal berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen, penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pulau Pinang, termasuk pihak berkuasa tempatan, anggota polis, angkatan tentera dan semua yang menjaga keamanan dan
ketenteraman negara.

“Segala usaha ini menjadi tunjang kepada kelancaran pelaksanaan dasar serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat di negeri tercinta ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai pemerkasaan dalam syiar Islam dan institusi keagamaan pula katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sedang melaksanakan agenda Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Saya percaya inisiatif seumpama ini secara tidak langsung menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan agar lebih cekap, pantas dan mesra rakyat.

“Antara pencapaian yang membanggakan ialah kejayaan mempercepatkan proses pengeluaran kad nikah secara digital daripada 30 hari kepada hanya satu hari, dengan penjimatan kos pematuhan peraturan dianggarkan sebanyak RM7.27 juta atau sekitar 78 peratus,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN