SEBERANG PERAI – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM700,000 bagi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Kampung Guar Petai, di sini hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan untuk pembangunan serta kesejahteraan Kampung Guar Petai manakala RM100,000 lagi disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora bagi menaik taraf kemudahan pendidikan.
Menurutnya, selain itu, KPKM turut menyediakan tambahan RM100,000 bagi pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertanian untuk pelajar sekolah.
“Kalau semua agensi bekerja bersama, rakyat dapat manfaat lebih cepat. Bagi Kampung Guar Petai, saya difahamkan fokus utama ialah kepada pembangunan komuniti dan pemerkasaan sektor pertanian.
“Ini sangat tepat kerana kampung ini mempunyai latar belakang komuniti agro dan di sinilah asas keterjaminan makanan negara bermula,” katanya pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani di Dewan MPKK Kampung Guar Petai, di sini hari ini.
Menurut beliau, antara projek dilaksanakan di kampung berkenaan termasuk kerja menaik taraf jalan kampung, membaik pulih rumah usang, kerja pendalaman longkang serta pemasangan lampu solar.
Sementara itu, SK Padang Menora menerima pelbagai kemudahan baharu termasuk papan pintar, televisyen pintar, penyaman udara serta kerja membaik pulih tandas dan bilik darjah.
Terdahulu, program turut dimeriahkan dengan Jualan Agro Madani melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus kepada pengunjung. -KOSMO! ONLINE














