IPOH – Seorang anggota bomba didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta memiliki imej pornografi seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun antara Februari hingga Mei pada tahun ini.
Tertuduh, Muhammad Aidilafifi Muhammad, 28, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut terhadap pelajar sebuah sekolah di Parit bagi tujuan kepuasan seksual.
Kesalahan tersebut didakwa telah dilakukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Seri Iskandar, dalam dan luar kawasan asrama sekolah serta di sebuah restoran antara awal Februari hingga 1 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama. Ia membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding yang sama, tertuduh yang juga merupakan pelatih unit kadet bomba sekolah berkenaan turut didakwa atas pemilikan gambar lucah mangsa.
Kandungan tersebut didakwa ditemui di dalam iPhone 14 Pro Max miliknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah pada 3 Mei, jam 5 petang.
Kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mengendalikan sesi pendakwaan sementara tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.
Nor Arfahanim memohon agar tiada jaminan diberikan memandangkan mangsa adalah di bawah umur. Bagaimanapun, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM80,000 bagi kesemua pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkannya.
Berdasarkan rayuan mitigasi, Ahmad Shamil memaklumkan, anak guamnya telah memberikan kerjasama penuh kepada polis sejak dipanggil pada 3 Mei dan tidak cuba melarikan diri.
“Anak guam saya sudah berkahwin dan tidak mempunyai cahaya mata. Beliau adalah seorang penjawat awam dan telah berkhidmat sebagai anggota bomba selama empat tahun tiga bulan.
“Beliau perlu menyara ibu bapa yang telah berusia dan adik-beradiknya dengan gaji bulanan RM2,500. Saya memohon jaminan sebanyak RM5,000 untuk kesemua pertuduhan dan menerima sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah,” katanya.
Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM9,000 bagi kesemua pertuduhan. Tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan dilarang menghubungi, mengganggu mangsa, keluarganya atau mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














