SABAN hari, kita sering dilambakkan dengan cerita perjuangan golongan ibu dalam membesarkan anak dan menyara keluarga.
Tidak kira sama ada berstatus ibu tunggal, ibu tiri mahu pun ibu tumpang sekali pun, jasa mereka sememangnya luar biasa dalam sebuah institusi keluarga.
Tanpa mereka, sebuah keluarga ibarat hilang tulang belakang yang mampu melenyapkan kebahagiaan sebuah keluarga.
Begitulah yang sering dipaparkan dalam banyak filem mahu pun drama seluruh dunia mengenai sosok seorang ibu.
Sempena Hari Ibu tahun ini, HibGlam menyenaraikan lima watak ibu luar biasa dalam filem dan drama yang berjaya meninggalkan impak dan berbekas di hati penonton.

Christine Hakim – Bila Esok Ibu Tiada
WATAK ibu yang berjaya membuat penonton mahu pulang ke rumah dan mencium tangan ibu mereka. Itu antara impak filem Indonesia, Bila Esok Ibu Tiada hasil lakonan hebat Christine Hakim sebagai Rahmi yang diabaikan empat anaknya disebabkan kesibukan hidup masing-masing.

Naskhah ini menjadi antara filem popular di Indonesia dan meraih tontonan tinggi dalam platform penstriman Netflix. Tidak keterlaluan sekiranya melabelnya sebagai ibu yang paling berpengaruh di Indonesia kerana mampu membuatkan penonton mengalirkan air mata disebabkan lakonan hebatnya.

Nabila Huda – M4M4
SUDAHLAH bergelut dengan kehidupan seharian, diuji pula apabila satu-satunya anak perempuannya menjadi mangsa rogol.
Peristiwa hitam tersebut menjadi titik perubahan besar yang mewujudkan rasa ingin membalas dendam dalam diri Aini lakonan hebat Nabila Huda demi menuntut keadilan buat anak perempuannya.
Kehebatan Nabila menjiwai watak ibu kepada Bella Dowanna ternyata meninggalkan impak besar terhadap penonton membuka mata ramai mengenai keadilan terhadap mangsa keganasan seksual.

Ogy Ahmad Daud – Ayahanda
KALAU ditanya apakah antara watak dipegang oleh Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy yang paling meninggalkan kesan mendalam kepada penonton, penulis merasakan karakter Hajah Noriah dalam drama Ayahanda pilihan utama.
Noriah dalam Ayahanda digambarkan sebagai seorang wanita yang sentiasa berusaha menjaga keharmonian rumah tangga dan berada di sisi suami lakonan Jalil Hamid meski berjuta badai menghentam keluarganya. Kehebatan lakonan Ogy pastinya tiada tandingan dan meraih pujian ramai apabila berjaya membawa watak sebagai seorang isteri dan ibu yang tegas dalam membuat keputusan meski tampak tenang dari luaran.

Sridevi – Mom
IBU mana yang tidak ‘naik hantu’ apabila anak perempuannya dirogol sekumpulan lelaki di sebuah parti.
Demi maruah anak tiri yang sudah hancur, dia sanggup merancang sebuah misi balas dendam terhadap setiap pelaku dalam kes rogol tersebut.
Memegang watak sebagai Devki Sabarwal yang juga seorang guru biologi, dia berjaya memaparkan karakter seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan hidup anaknya. Hasil lakonan hebat Sridevi, naskhah MOM berjaya mencetuskan fenomena luar biasa dengan mencecah kutipan tinggi di India selepas ditayangkan sekitar 2017.

Julia Roberts – Erin Brockovich
ERIN, seorang ibu tunggal yang berjuang habis-habisan demi anak lelakinya yang mengalami masalah kesihatan termasuk kerosakan pada wajah akibat kecuaian sebuah kilang sehingga berlaku pencemaran air oleh sebuah syarikat ternama. Bukan sahaja demi anak lelaki, juang seorang ibu berjaya dilakonkan Julia Roberts yang menuntut keadilan demi kesihatan penduduk setempat.
Watak yang dipegang Roberts berjaya memberi inspirasi besar terhadap penonton dengan kekuatan luar biasa dan ketabahan serta keberanian untuk melawan ketidakadilan dalam sebuah sistem. Filem berkenaan juga berjaya menobatkan Roberts sebagai pemenang kategori Aktres Terbaik Anugerah Oscars pada 2001.















