fbpx
Christine Chong (kanan) bersama Vei Ken pada majlis MoU di SMC, Bandar Sunway, Petaling Jaya hari ini. Foto IQBAL ROSLI

Sandoz, SMC jalin kerjasama teroka rawatan biosimilar kanser limfoma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sandoz, syarikat peneraju global dalam pembangunan generik dan biosimilar telah menjalinkan kerjasama bersama Sunway Medical Centre (SMC) khususnya bagi rawatan kanser limfoma.

Kerjasama itu merangkumi advokasi bagi meningkatkan pemahaman kepada pesakit dalam penggunaan biosimilar, selain menyokong kecemerlangan klinikal dalam rawatan limfoma di Malaysia.

Ketua Negara Sandoz Malaysia, Singapura dan Brunei, Christine Chong berkata, menerusi kerjasama itu satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani berkuatkuasa sehingga 31 Disember depan.

Jelas beliau, MoU tersebut bertujuan membina keyakinan terhadap biosimilar dalam kalangan profesional kesihatan, pesakit dan orang ramai dengan tumpuan awal diberikan kepada penjagaan pesakit limfoma.

“Limfoma merupakan antara bidang rawatan yang sangat bergantung kepada terapi biologik (menggunakan sel hidup atau sistem biologi) untuk meningkatkan hasil rawatan pesakit.

“Bagaimanapun, ramai pesakit masih berdepan cabaran untuk mendapatkan atau meneruskan rawatan.

“Biosimilar menawarkan hasil klinikal yang sama seperti biologik tanpa perbezaan dari segi keselamatan dan keberkesanan, sekali gus membantu mengurangkan halangan akses serta meningkatkan kecekapan sistem kesihatan,” katanya pada majlis MoU itu hari ini.

Di Malaysia, akses kepada terapi biologik masih belum meluas berikutan jurang kesedaran dan kekangan sistem kesihatan walaupun beban penyakit kekal tinggi.

Sebagai rekod, kanser limfoma yang bermula daripada limpa merupakan antara kanser paling lazim di negara ini dengan lebih 2,000 pesakit baharu didiagnosis setiap tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan kepakaran klinikal dan komitmen terhadap pesakit, SMC merupakan rakan strategik penting dalam memperkukuh rawatan limfoma serta meningkatkan kefahaman terhadap biosimilar di negara ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr. Seow Vei Ken berkata, kerjasama dengan rakan strategik seperti Sandoz penting kerana ia membawa kepakaran global melalui sumber yang terkini.

Langkah itu katanya memastikan insitusi kesihatan tersebut kekal di hadapan dalam inovasi perubatan.

“Melalui kerjasama ini, kami mahu pesakit mendapat akses kepada rawatan terkini seperti biosimilar yang mewakili perkembangan besar dalam pilihan terapi terkini dan berkesan.

“Kami juga komited menyediakan pendidikan dan program jangkauan komuniti supaya masyarakat lebih yakin untuk menerima terapi baharu ini,” katanya.

Di peringkat global, biosimilar kini digunakan secara meluas sebagai sebahagian usaha memperluaskan akses kepada terapi moden, selain membantu rawatan lebih awal.

Dengan semakin banyak ubat biologik akan tamat tempoh beberapa tahun akan datang, Malaysia dilihat mempunyai peluang besar untuk menikmati manfaat yang sama menerusi penggunaan biosimilar secara menyeluruh dalam ekosistem penjagaan kesihatan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN