PETALING JAYA – Seorang penyanyi wanita dikenali sebagai Yee, 39, mendakwa menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak berlesen selepas menerima tawaran pinjaman menerusi aplikasi WhatsApp, sejak April lalu.
Yee yang berasal dari Selangor berkata, dia pada awalnya mahu meminjam wang untuk tujuan perniagaan sebelum menerima mesej daripada individu yang mendakwa mereka merupakan pemberi pinjaman wang berlesen.
“Mereka menawarkan pinjaman dan saya bersetuju membuat empat pinjaman berjumlah RM45,000. Bagaimanapun, saya hanya menerima RM17,800 sahaja,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Menurut Yee, dia mula mengesyaki dirinya ditipu namun tetap meneruskan urusan pinjaman kerana memerlukan wang segera selain telah menyerahkan maklumat peribadi kepada pihak terbabit.
Katanya, pada Mei lalu, individu terbabit mula menuntut kadar faedah dan bayaran yang tidak munasabah walaupun semua bayaran dibuat mengikut masa ditetapkan.
“Saya mahu selesaikan pinjaman itu untuk elakkan masalah berterusan, namun mereka masih menuntut wang yang tinggi,” ujarnya.
Yee mendakwa walaupun hanya menerima RM17,800 dan sudah membuat bayaran semula RM20,300, sindiket itu masih menuntut RM49,400 sebagai bayaran penyelesaian bagi tiga pinjaman, manakala baki satu lagi pinjaman tidak dinyatakan secara jelas.
Menurutnya, salah seorang suspek dikenali sebagai Vic turut mengugutnya selepas dia membuat dua pinjaman berjumlah RM10,000 tetapi hanya menerima RM4,000.
“Saya sudah bayar RM1,700 tetapi dia masih menuntut RM23,000 sebagai bayaran penyelesaian penuh,” katanya.
Tambah Yee, dia turut diugut untuk didedahkan maklumat peribadi di media sosial, dicemarkan reputasi kerjayanya selain ancaman menculik, menyimbah cat di rumah, mencederakan ahli keluarga dan membakar kediamannya.
Susulan itu, Yee mendapatkan bantuan dan nasihat daripada Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam pada 6 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE














