fbpx
Tangkap layar rakaman CCTV yang dikongsikan MBSA di TikTok.

[VIDEO] Baru lepas campak sampah, dah kena angkut masuk kereta semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tindakan dua individu membuang tiga bungkusan sampah di tepi jalan tidak berakhir begitu sahaja apabila mereka diarahkan mengambil semula sampah tersebut selepas perbuatan itu dikesan menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian yang berlaku di Jalan Sungai Pelubung, Shah Alam baru-baru ini, kedua-dua individu terbabit dilihat memberhentikan kereta dinaiki mereka di tepi jalan sebelum mengeluarkan tiga bungkusan sampah dari but kereta dan mencampakkannya di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan tidak bertanggungjawab itu berjaya dirakam CCTV yang dipasang di lokasi terbabit, selain mereka turut ditegur anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi sistem pembesar suara yang disediakan di kawasan tersebut.

“Dilarang membuang sampah di sini. Ulang suara, dilarang membuang sampah di sini. Anda akan didakwa. Sila ambil semula sampah anda. Kami sedang memantau pergerakan anda,” tegur penguat kuasa bertugas.

Susulan teguran itu, kedua-dua individu berkenaan dilihat kembali mengangkat semula ketiga-tiga bungkusan sampah masuk ke dalam but kereta.

Tinjauan mendapati kawasan berkenaan dipercayai sering menjadi lokasi pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mencacatkan pemandangan dan menjejaskan kebersihan persekitaran.

Sementara itu, MBSA dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sentiasa komited memastikan kebersihan serta kesejahteraan bandar raya terus terpelihara menerusi pemantauan berterusan, termasuk penggunaan sistem CCTV di lokasi tumpuan.

“Rakaman CCTV ini menunjukkan tindakan segelintir individu yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab di kawasan awam.

“Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Menurut MBSA, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang disediakan serta mematuhi peraturan ditetapkan.

“MBSA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pembuangan sampah haram dan tindakan tegas akan diambil.

“Bersama-sama kita jadikan Shah Alam sebuah bandar raya yang bersih, indah dan lestari,” katanya. – KOSMO! ONLINE

@sacitycouncil 𝐌𝐁𝐒𝐀 𝐏𝐀𝐍𝐓𝐀𝐔 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐔𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐌𝐏𝐀𝐇 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐋𝐔𝐈 𝐂𝐂𝐓𝐕 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sentiasa komited dalam memastikan kebersihan dan kesejahteraan bandar raya terus terpelihara melalui pemantauan berterusan, termasuk penggunaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tumpuan. Rakaman CCTV ini menunjukkan tindakan segelintir individu yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab di kawasan awam. Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang. Orang ramai diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan dengan membuang sampah di tempat yang disediakan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan. MBSA tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pembuangan sampah haram dan tindakan tegas akan diambil. Bersama-sama kita jadikan Shah Alam sebuah bandar raya yang bersih, indah dan lestari. #WeLoveShahAlam #KitaSelangorMajuBersama #MalaysiaMadani #PemacuKemajuan #PenerajuKecemerlangan ♬ Spooky, quiet, scary atmosphere piano songs – Skittlegirl Sound

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN