PONTIAN – Seorang wanita didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjadi keldai akaun dalam kes pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian RM880, dua bulan lalu.
Majistret Nurhafiza Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Fatin Emelia Rahmat, 32, sejurus pertuduhan dikemukakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Nur Fatin didakwa secara tidak jujur mengalihkan harta milik Rosmawati Jamian berupa wang sebanyak RM880 ke dalam akaun bank miliknya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Dalam, Ayer Baloi di sini pada pukul 7.04 malam, 4 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor Fakhrul Naim Md. Lias manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Nur Fatin dalam rayuannya memberitahu mahkamah, dia baru sahaja diberhentikan kerja dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil.
Setelah menimbang rayuan dari tertuduh, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000 dan mengarahkan tertuduh dikenakan penjara satu bulan jika gagal membayar denda. Nur Fatin membayar denda tersebut.-KOSMO! ONLINE














