PETALING JAYA – Dua individu dikenakan kompaun selepas didapati merokok di kawasan larangan menerusi Operasi Khas Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di sekitar Medan Selera Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri semalam.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, operasi tersebut dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan terhadap larangan merokok di kawasan premis makanan sentiasa dipatuhi demi keselesaan dan kesihatan orang awam.
Menurut DBKL, sebanyak 20 premis makanan telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan dijalankan.
“Hasil operasi mendapati sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan atas kesalahan merokok di kawasan larangan premis makanan.
“Selain tindakan penguatkuasaan, pendidikan kesihatan serta nasihat turut diberikan kepada wakil premis sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan sedia ada,” katanya.
Tegasnya, DBKL akan terus mempergiat pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan awam kekal bersih, sihat dan selesa untuk seluruh warga kota. – KOSMO! ONLINE














