JOHOR BAHRU – Projek Sistem Transit Rapid (RTS) menghubungkan Johor Bahru dan Singapura yang dijadual beroperasi selewat-lewatnya pada awal tahun depan dijangka mampu memberikan penjimatan sehingga RM7,200 sebulan bagi rakyat Malaysia yang bekerja di seberang Tambak Johor.
Ini kerana mereka tidak perlu lagi mengeluarkan belanja besar untuk menyewa rumah atau bilik sebanyak SG$1,000 hingga SG$2,500 (RM3,500 hingga RM8,700) sebulan mengikut lokasi, saiz dan kemudahan, sebaliknya berulang-alik menggunakan perkhidmatan itu yang mengambil masa lima minit dari Bukit Chagar dan Woodlands North.
Dianggarkan kira-kira 230,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura termasuk yang berulang-alik dari Johor Bahru ke republik tersebut setiap hari.
Tinjauan mendapati ramai rakyat kita yang menyewa di Singapura mula mempertimbang untuk berpindah ke Johor Bahru apabila RTS beroperasi kelak.
Ini kerana kos sewa apartmen di bandar raya ini sebanyak RM2,000 hingga RM2,100 sebulan dan RM1,500 di kawasan berhampiran dilihat lebih rendah berbanding di negara tersebut.
Kos sewaan studio berhampiran CIQ dan projek RTS pula dianggarkan RM1,600 hingga RM2,200, bergantung kepada lokasi dan kemudahan yang disediakan. Kos sewa itu dilihat 70 peratus lebih rendah berbanding menyewa di negara jiran, tidak termasuk perbelanjaan lain seperti makanan, utiliti dan pengangkutan.
Kos utiliti apartmen di Singapura pula mencecah RM600, manakala di negeri ini dianggarkan RM200, selain harga makanan dan perkhidmatan yang jauh lebih murah di Johor.
Kos pengangkutan menggunakan RTS sebanyak RM15 hingga RM22 sehala, menjadikan ia pilihan yang dianggap masih berbaloi dan berpatutan untuk berulang-alik.
Seorang pekerja rentas sempadan, Mohd. Ali Emran, 36, berkata, ketika ini dia menyewa sebuah bilik kecil di Singapura sebanyak RM1,500 sebulan.
“Selepas RTS beroperasi, saya merancang untuk tinggal di Johor Bahru. Dengan kos sama, saya boleh mendapat bilik yang lebih selesa dan besar berbanding di Singapura,” katanya yang bekerja dalam sektor kesihatan.
Seorang lagi pekerja, Nor Hafiz Rahman, 32, berkata, peningkatan kos sewa di Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini memberi tekanan kepada pekerja asing termasuk rakyat Malaysia.
“Sewa makin mahal setiap tahun. Kalau ada pilihan untuk berulang-alik yang pantas seperti RTS, saya rasa memang ramai akan pilih untuk tinggal di Johor,” katanya.
Bagi pekerja sektor perkhidmatan, Siti Nur Aisyah, 28, selain sewa, kos makanan dan keperluan harian di negara jiran jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.
“Kalau boleh berjimat dari segi sewa rumah, memang berbaloi berulang-alik walaupun perlu keluar awal setiap hari untuk ke tempat kerja,” katanya.
Sementara itu, ejen hartanah, Mohd. Iqbal Ismail berkata, permintaan terhadap kediaman di Johor Bahru khususnya berhampiran projek RTS menunjukkan peningkatan ketara sejak beberapa tahun lalu.
“Ramai pembeli dan penyewa terdiri daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura. Mereka sudah mula merancang untuk berpindah lebih awal sebelum RTS beroperasi,” katanya.
Menurutnya, Bukit Chagar dan kawasan sekitarnya menjadi tumpuan kerana faktor akses terus kepada sistem pengangkutan awam tersebut.
“Namun, jika permintaan terus meningkat, tidak mustahil kadar sewaan kediaman di Johor juga akan naik secara berperingkat,” ujarnya.
Projek RTS Johor merupakan inisiatif yang dipersetujui kedua-dua negara sejak tahun 2010 dalam usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor yang menjadi laluan utama harian pekerja Malaysia-Singapura.
Namun, projek tersebut melalui beberapa penangguhan sebelum dimuktamadkan semula pada tahun 2019 selepas rundingan semula melibatkan kos dan skop pelaksanaan.
Pembinaan RTS Link bermula secara rasmi pada November 2020 dengan pelaksanaan kerja-kerja utama di Bukit Chagar, Johor Bahru.
Projek ini melibatkan kos keseluruhan dianggarkan RM10 bilion merangkumi jajaran sepanjang kira-kira empat kilometer yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura.
RTS dibangunkan sebagai sistem rel ringan dengan kapasiti membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah serta dilengkapi kemudahan imigresen, kastam dan kuarantin (CIQ) bersepadu di kedua-dua stesen.
Dengan keupayaan tersebut, RTS dijangka mampu mengurangkan kesesakan teruk di Tambak Johor selain mempercepatkan pergerakan rentas sempadan secara lebih sistematik dan efisien.
Secara keseluruhan, RTS bukan sahaja dilihat sebagai penyelesaian kepada kesesakan trafik di Tambak Johor, malah berpotensi mengubah gaya hidup pekerja Malaysia di Singapura daripada menetap di republik itu kepada berulang-alik setiap hari.
Dengan jurang kos sara hidup yang besar, kemudahan pengangkutan moden serta masa perjalanan yang singkat, trend ini dijangka menjadi pilihan utama sebaik sahaja RTS mula beroperasi sepenuhnya kelak. -KOSMO! ONLINE














