fbpx
Azam (kiri) ketika menyampaikan sijil APC kepada penerima di Bangi Avenue Convention Centre, hari ini. Foto ihsan SPRM

Rasuah era digital makin canggih, SPRM perlu tingkat profesionalisme

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memperkukuh keupayaan dalaman dan meningkatkan tahap profesionalisme dalam menghadapi cabaran baharu rasuah yang semakin kompleks, termasuk melibatkan teknologi digital dan transaksi rentas sempadan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perubahan landskap jenayah rasuah itu turut memberi tekanan kepada agensi berkenaan untuk mengekalkan ketelusan serta integriti dalam setiap tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata, dalam era maklumat tanpa sempadan, setiap tindakan SPRM sentiasa diperhatikan dan dinilai oleh masyarakat, sekali gus menuntut tahap kepercayaan awam yang tinggi terhadap institusi tersebut.

“Evolusi modus operandi rasuah kini semakin canggih, melibatkan penggunaan teknologi digital, transaksi rentas sempadan serta jaringan yang lebih tersusun.

“Adalah penting untuk kita terus memperkukuhkan daya tahan organisasi, meningkatkan kompetensi warga kerja serta mengamalkan budaya kerja berintegriti,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) SPRM Tahun 2025 di sini hari ini.

Menurut beliau, tema ‘Integriti Dijulang, Perkhidmatan Cemerlang’ bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi prinsip utama dalam setiap pelaksanaan tugas warga SPRM.

Azam berkata, pencapaian tersebut mencerminkan budaya kecemerlangan berteraskan integriti terus diperkukuh dalam organisasi berkenaan.

Tambahnya, kejayaan SPRM turut diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

“SPRM juga perlu berbangga kerana telah mencapai kecemerlangan di dalam dan luar negara antaranya menerusi permeteraian MoU dengan negara luar misalnya bersama UAE serta Arab Saudi yang mencerminkan keyakinan negara-negara ini terhadap prestasi SPRM,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 233 warga SPRM menerima APC melibatkan 146 penerima dari ibu pejabat dan 87 dari negeri, selain 33 Anugerah Khas serta dua Anugerah Emas menerusi Anugerah Ketua Pesuruhjaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN