PETALING JAYA – Seorang wanita mengalami kerugian apabila wang simpanan lebih RM4,700 lesap sekelip mata selepas terperdaya dengan taktik licik sindiket penipuan pada Ahad lalu.
Menerusi hantaran oleh @hdibaobei di media sosial, dia menerima panggilan pada pukul 3 petang daripada individu yang mendakwa pegawai syarikat Touch ‘n Go (TnG).
Suspek dipercayai mminta mangsa menukar kad kredit kononnya telah tamat tempoh, selain menjanjikan pulangan tunai menerusi ganjaran ‘eReward’ sebanyak 580 mata.
“Selepas berurusan beberapa kali melalui panggilan telefon, akaun e-mel saya telah digodam dan kata laluan saya ditukar. Tidak lama kemudian saya dapati di akaun bank saya telah berbaki kosong dan saya mengalami kerugian sekitar RM4,700.
“Saya akui kesilapan saya dan reda jika wang tersebut tidak dapat dikembalikan. Saya mohon doa daripada semua kerana kini saya berada dalam keadaan kewangan yang sukar untuk meneruskan hidup,” katanya.
Susulan perkongsian itu, pihak TnG tampil memberikan maklum balas rasmi bagi menjelaskan situasi berikut.
Pihak TnG menegaskan bahawa individu tersebut bukan kakitangan mereka dan meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
“Touch ‘n Go tidak akan sesekali menghubungi pelanggan melalui aplikasi Whatsapp atau mana-mana nombor peribadi yang tidak rasmi dan pihak kami hanya akan menghubungi pelanggan melalui nombor careline rasmi iaitu +603-27148888 sahaja,” katanya dalam hantaran balas itu.
Dalam pada itu, orang ramai diminta untuk sentiasa berhati-hati agar tidak sewenang-wenangnya mempercayai individu yang meragukan dan tidak mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak ketiga. – KOSMO! ONLINE














