KUALA LUMPUR – Kes kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri di Jalan Ampang Sabtu lalu kini diklasifikasikan semula dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, suspek lelaki berusia 24 tahun yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur telah ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, suspek telah dibenarkan keluar hospital pada semalam sebelum hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee pada hari sama.
“Suspek kemudian ditangkap dan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Pada hari ini, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Lumpur, Nur Atikah Zakaria membenarkan permohonan reman selama tujuh hari sehingga 11 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan pasangan suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk dalam kejadian di Jalan Ampang, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal jenis Honda Wave Alpha ditunggang pasangan suami isteri terbabit.
Pemandu dan penumpang hadapan berusia 23 tahun kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.
Seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan telah dibenarkan pulang sebelum tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














