PETALING JAYA – Kerajaan Negeri Selangor membuka permohonan Geran Tahun Melawat Selangor 2026 dengan jumlah peruntukan RM600,000 bagi merancakkan sektor pelancongan negeri itu sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2026.
Tourism Selangor Sdn. Bhd. dalam kenyataan memaklumkan, permohonan geran tersebut dibuka bermula 4 Mei hingga 31 Oktober ini dan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 59 program serta acara pelancongan di seluruh Selangor.
Menurut kenyataan itu, geran berkenaan terbuka kepada empat kategori pemohon iaitu syarikat dan organisasi swasta tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak menerima peruntukan promosi kerajaan, anak syarikat di bawah kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
“Bagi memenuhi pelbagai skala penganjuran, geran ini dibahagikan kepada lima kategori melibatkan Geran Pusing Selangor Dulu (RM3,000), Geran Discover Selangor (RM5,000), Geran Splendid Selangor (RM10,000), Geran Surprising Selangor (RM15,000) dan Geran Selangor Kan Ada (RM20,000),” katanya.
Jelasnya, pemohon yang berjaya perlu mengemukakan cadangan program berimpak tinggi serta berdaya saing dalam menyumbang kepada pembangunan ekosistem pelancongan negeri.
“Keutamaan akan diberikan kepada program yang memberi impak sosioekonomi di peringkat domestik melalui penglibatan pelbagai pihak selain penganjuran acara di Selangor yang melibatkan pelancong serta agensi antarabangsa,” ujarnya.
Terdahulu, pada tahun 2025, seramai 30 agensi telah menerima geran berjumlah RM300,000 di bawah inisiatif sama.
Tambah kenyataan itu, peningkatan peruntukan tahun ini diharap dapat merangsang pertumbuhan jumlah pelancong selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, di samping memperkasa penganjuran lebih banyak acara pelancongan tempatan di negeri tersebut. – KOSMO! ONLINE














