ALOR GAJAH – Pemandu van persiaran membawa lapan pelancong warga India yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 212, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman sehingga 11 Mei ini terhadap suspek yang berusia 55 tahun dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Kamarul Aris Kamalluddin.
Tindakan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kenderaan polis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, lelaki itu ditahan selepas ujian awal saringan air kencing mendapati pemandu tersebut positif methamphetamine atau syabu.
Kosmo! semalam melaporkan sebuah van persiaran yang membawa lapan pelancong warga India terbabas sebelum terbalik di Lebuh Raya Utara-Selatan pada pukul 10.18 pagi. Kesemua mangsa terselamat dengan dua kanak-kanak lelaki cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE














