fbpx
Muhamad Muhsin.

GSF 2.0: ‘Kena seret, kena sepak, hidup dalam ketakutan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 mendedahkan pengalaman getir apabila didakwa berdepan layanan kasar sepanjang ditahan oleh rejim Israel.

Muhamad Muhsin Zaidi berkata, detik tersebut bukan sahaja menakutkan, malah penuh penderitaan fizikal dan mental.

“Pengalaman dalam penjara Z (Zionis) tu memang perit. Sentiasa rasa takut, kena seret, kena sepak semua ada. Dia nak kejut orang bangun tidur, dia campak flashbang je, berdesing telinga aku. Duduk dalam kontena berhimpit-himpit, takde selimut tak ada bantal. Waktu malam punya la sejuk,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, tindakan rejim Israel memintas flotila tersebut adalah tidak sah kerana berlaku di perairan antarabangsa.

“Macam aku cakap beberapa jam sebelum kami diculik, Z tak ada hak nak sentuh bot-bot kami kerana kami di Perairan Antarabangsa. Apa yang Z buat tu sangat salah dan dia cuba buat sesuka hati dia.

“Sebenarnya Z ini satu rejim yang kita boleh cabar dan tekan. Bila dia dicabar, dia akan slow (perlahan) dan ikut. Itu tujuan GSF, gerakan orang awam dari serata dunia dengan tujuan pergi ke Gaza, nak beri tekanan pada Z,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 dilaporkan diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim Israel.

Insiden tersebut berlaku ketika flotila menghampiri perairan Greece dengan 21 kapal disahkan telah dipintas oleh pihak rejim pada jarak kira-kira 80 batu nautika.

Mereka kemudian dilepaskan di Pelabuhan Lera Petra di Kepulauan Crete serta dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion menaiki bas yang disediakan oleh pihak Greece serta diterbangkan ke Istanbul. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN