KAJANG – Mencari rentak keserasian antara rakan niaga dan Pengarah Sinar Group, Ahmad Yusuf Ibrahim, Amirul Akmar Abd Jalil dan Mohd. Syukri Mohammad mengoperasikan perniagaan dalam bidang automotif pastinya agak sukar dilihat daripada mata kasar.
Namun, itulah realitinya, hubungan antara mereka semakin kukuh apatah lagi dalam perniagaan yang sedang berkembang pesat dengan kesibukan masing-masing tetapi mereka terus menjaga adab perhubungan dengan sebaiknya, amanah dan tugas serta tanggungjawab yang diberikan, sehingga mampu mendirikan empayar bisnes yang mengagumkan.
Ahmad Yusuf berkata, antara kunci rahsia kejayaan hubungan rakan niaganya terus berkekalan adalah sikap ikhlas dan jujur yang diamalkan sejak mula syarikat dibangunkan, selain berterus terang dalam segala hal, mereka begitu komited menjaga tugas serta amanah yang telah ditetapkan dalam perniagaan.
Bersandarkan permuafakatan antara rakan kongsi tersebut, perjalanan Sinar Group yang terdiri daripada Sinar Auto dan ECW Motorsports berjalan lancar melalui aktiviti perniagaan terasnya iaitu menjual kenderaan import terpakai (recond) dan juga motosikal berkuasa tinggi import terpakai (recond).

Syarikat juga menyediakan pusat servis kenderaan yang terletak di Kajang, Bandar Baru Bangi dan Kuching, Sarawak selain memiliki pusat penjualan sports rim dan penjualan tayar di Bandar Teknologi Kajang.
Ia juga memiliki pusat servis badan kereta, cat dan pusat servis tinted di Bandar Baru Bangi melalui ECW Motorsports.
Selain itu, Kumpulan juga memiliki syarikat penyedia waranti kenderaan selepas jualan di bawah nama Ezcare Warranty dan juga sebuah syarikat pengangkut kenderaan, Ezcare Transporter yang mana syarikat memiliki beberapa buah trailer yang menawarkan perkhidmatan mengangkut kenderaan seluruh Malaysia.
Ahmad Yusuf berkata, sehingga kini, ekosistem perniagaan kumpulan kini hampir lengkap dengan setiap segmen menyokong semua perkhidmatan yang ditawarkan.
Sekali gus ia meletakkan Kumpulan berada di landasan yang kukuh untuk menjadi sebuah syarikat bumiputera yang terbilang dalam industri automotif.
Langkah kecil mereka yang hanya bermula daripada pejabat sebesar kabin sahaja, kini terus aktif mengembangkan sayap perniagaan sehingga mampu memiliki sebuah ibu pejabat, sebuah pusat pameran kereta antara terbesar di pusat bandar Kajang dengan pelaburan kira-kira RM11 juta.

Inisiatif ini bukan datang bergolek sekelip mata, tetapi mereka berdikit-dikit melangkah daripada satu peringkat ke peringkat lain dalam industri mencabar yang melibatkan pelbagai proses.
Antaranya mengimport kenderaan terpakai dari luar negara, memperoleh lesen import (AP), melalui segala birokrasi pihak berkuasa tempatan, meningkatkan keyakinan pengedar dan pelanggan serta juga memfokuskan usaha kepada pengukuhan modal insan.
Segala cabaran, dugaan, ‘sepak terajang’, penipuan dan salah laku dalam industri itu telah mereka hadap dengan hati yang cekal, pengalaman dan perbincangan dari hati ke hati bagi menyelesaikan isu yang mendatang, malah bersama susah dan senang melayan ombak badai dalam dunia perniagaan.
Melalui asas perniagaan yang semakin kukuh dan disulami dengan idea pemikiran Ahmad Yusuf, Amirul Akmar dan Mohd. Shukri, mereka bersedia maju ke hadapan dengan pelbagai idea serta inisiatif lebih bersemangat untuk meletakkan Kumpulan itu sebaris dengan nama besar syarikat bumiputera dalam industri.
“Tahun lalu, sasaran jualan mencatat rekod yang baik dan pada suku pertama tahun ini, nilai sasaran juga turut dicapai bagi suku pertama tahun ini.

“Prestasi ini menunjukkan permintaan terhadap kenderaan import recond terus menerima permintaan yang baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pusat pameran terbaharu Suria Group baru-baru ini.
Menjawab persoalan mengenai kebimbangan pasaran terhadap kesan perang yang berlaku di Asia Barat, Ahmad Yusuf menjelaskan, sasaran kumpulan pelanggan berpotensinya adalah terdiri daripada golongan mewah, bangsawan dan kenamaan yang suka mencari peluang menambah aset kenderaan masing-masing.
“Jadi, dalam keadaan sekarang, perniagaan ini tidak terkesan kerana masih ada permintaan baik daripada golongan T20 dan kami juga mampu mencatat rekod jualan bulan demi bulan.
“Sebenarnya, pasaran ini sangat besar, sebab itulah mereka masih membeli kereta import, apatah lagi kemudahan termasuk selepas jualan yang kami tawarkan juga adalah secara menyeluruh yang akan menggembirakan pelanggan,” jelas beliau.
Tambah usahawan ini, permainan dalam perniagaan ini agak berbeza selepas pandemik Covid lalu sehinggakan segmen bisnes jualan kereta import lebih tinggi mendadak berbanding sebelum ini, menjadikan pihaknya pada masa sekarang tidak cukup tangan untuk memenuhi permintaan tersebut.
Ahmad Yusuf menerangkan, dalam keterujaan mengembangkan sayap perniagaan, pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan kakitangannya yang sentiasa komited menyokong perusahaannya dengan meraikan mereka dengan pembayaran bonus dan juga membawa mereka menunaikan umrah ke Tanah Suci.
“Bila syarikat semakin besar, kami perlu terus aktif meluaskan perniagaan, saya dan rakan niaga perlu fokus terhadap operasi dan pencapaian serta perancangan masa depan.
“Saya pun tidak boleh lena tidur memikirkan urusan perniagaan, sama juga dengan kakitangan saya, kami tidak boleh leka, tidak boleh malas dan sentiasa rajin mengikut rentak permainan dalam perniagaan ini.
“Yang pastinya, rentak itu berbeza dengan cabaran permainan harga jualan yang tidak stabil di pasaran dengan kerenah pelanggan yang hanya mahukan jualan murah, jadi kami perlu sentiasa bergerak ke hadapan, mengemas kini trend perniagaan, kami juga kena pantas bertindak membuat keputusan agar pasaran sentiasa stabil dan berpotensi,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














