fbpx
KARTHIK ketika memenangi Anugerah TVET Star PolyCC 2025 bagi Kategori Inovasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karthik cipta inovasi lindungi kereta dari bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEORANG pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer dari Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan berjaya meraih Anugerah TVET Star PolyCC 2025 bagi Kategori Inovasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ini sekali gus membuktikan, S. Karthik, 21, berjaya mengimplementasikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dipelajarinya di institusi berkenaan. Kejayaan tersebut juga mengangkat dirinya sebagai pencipta inovasi berimpak tinggi.

Menurut Karthik, projek inovasi yang dibangunkannya dikenali sebagai Aquarise iaitu sistem pintar berasaskan Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan banjir serta melindungi kenderaan secara automatik.

“Aquarise bukan sekadar memberi amaran banjir seperti sistem sedia ada tetapi mampu bertindak secara automatik apabila banjir dikesan melalui sensor paras air, hujan dan AI pengecaman imej. Sistem itu akan mengangkat kenderaan serta menghantar notifikasi masa nyata kepada pengguna.

“Idea menghasilkan projek tersebut tercetus daripada kejadian banjir yang kerap berlaku di negara ini sehingga menyebabkan kerugian besar terhadap pemilik kenderaan,” katanya kepada K-Kampus.

Mengulas lanjut, Karthik berkata, kebanyakan sistem hanya memberi amaran tanpa tindakan.

“Jadi saya mahu hasilkan solusi yang bukan sahaja mengesan tetapi terus bertindak untuk mengurangkan kerugian.

“Bagi saya, anugerah ini sangat bermakna kerana ia mencerminkan usaha dan komitmen saya dalam membangunkan solusi teknologi yang praktikal dan boleh digunakan dalam situasi sebenar,” katanya.

Karthik bersama pensyarahnya ketika memperkenalkan inovasi Aquarise yang berjaya merangkul Anugerah TVET Star PolyCC 2025 bagi Kategori Inovasi baru-baru ini.

Karthik yang kini berada di semester enam dan sedang menjalani latihan praktikal berkata, pembangunan prototaip Aquarise menelan kos kira-kira RM1,600, melibatkan penggunaan komponen seperti ESP32, Raspberry Pi, sensor dan sistem mekanikal.

“Projek ini juga telah memperoleh perlindungan hak cipta sebagai pengiktirafan terhadap inovasi yang dibangunkan dan untuk potensi pengkomersialan pada masa hadapan,” jelasnya.

Tambahnya, jika diaplikasikan secara meluas, sistem berkenaan berpotensi mengurangkan kerugian harta benda, meningkatkan keselamatan komuniti serta mengurangkan pencemaran alam sekitar akibat kebocoran minyak.

“Inovasi ini juga berpotensi menjadi sebahagian daripada ekosistem bandar pintar (smart city) dan digunakan di kawasan perumahan, parkir awam serta oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Sementara itu, Karthik turut meraih kejayaan di pentas antarabangsa menerusi pelbagai kemenangan termasuk Anugerah Emas CITEC 2026, Gold Award TVET Research and Innovation Competition 2025 serta Pingat Emas International Creative Innovation Idea Competition 2026.

Di peringkat institusi pengajian pula, Karthik turut memperoleh beberapa pengiktirafan termasuk tempat pertama Projek Terbaik Jabatan (Jabatan Kejuruteraan Elektrik), Anugerah Emas, serta Projek Terbaik Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer).

Dalam pada itu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, kejayaan yang diraihnya itu tidak dicapai secara bersendirian kerana disokong oleh penyelia projeknya iaitu tenaga pengajar Politeknik Port Dickson, keluarga dan rakan-rakan.

“Mereka sentiasa memberi bimbingan, dorongan dan semangat untuk saya terus berusaha walaupun berdepan dengan cabaran sepanjang pembangunan projek ini.

“Saya amat menghargai segala tunjuk ajar daripada pensyarah yang banyak membantu dari segi teknikal dan idea serta keluarga yang sentiasa memberi sokongan moral. 

“Rakan-rakan juga banyak membantu dari segi perkongsian ilmu dan motivasi.Tanpa sokongan mereka, saya mungkin tidak berada di tahap ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN