SEJAK kecil, Nurul Afiza Foizi menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian di luar negara.
Seiring berjalannya waktu, apa yang diimpikannya itu menjadi realiti apabila dia mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Matematik dan Statistik di Universiti of Sheffield, United Kingdom (UK).
“Ketika kecil saya suka melihat vlog harian pelajar Malaysia yang belajar di luar negara.
“Ia memberikan satu inspirasi kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan kemudian melanjutkan pengajian di luar negara, saya bersyukur kerana impian saya menjadi satu kenyataan,” kata gadis yang berusia 22 tahun itu.
Nurul Afiza juga menitipkan rasa terima kasih kepada pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang membantunya untuk belajar di bumi asing.
Sebelum ini dia mengambil A-Level di Kolej Mara, Seremban sebelum ditaja oleh Mara untuk mengikuti pengajian di Universiti of Sheffield.
Mengulas tentang pemilihan bidang matematik dan statistik, Nurul Afiza berkata, sejak di bangku sekolah dia begitu meminati mata pelajaran matematik.

“Saya juga ingin mengetahui bagaimana matematik dan statistik ini boleh digunakan di dalam dunia sebenar.
“Oleh itu, apabila mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi saya memilih untuk mengambil bidang ini,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, dia melihat bidang tersebut menawarkan peluang pekerjaan yang meluas.
Dari sudut kerjaya pula, graduan dalam bidang matematik dan statistik ini boleh menceburkan diri dalam bidang data dan teknologi, kewangan dan perbankan, korporat dan lain-lain lagi.
Anak bongsu daripada enam beradik itu menyimpan harapan besar bukan sahaja untuk berjaya tetapi untuk membanggakan ibu bapanya.
“Saya mahu tamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama dan kemudian mendapatkan kerja yang baik untuk membalas jasa kedua ibu bapa saya.
“Selain itu, selepas tamat pengajian saya juga berhasrat untuk pulang dan bekerja di tanah air dan ingin menyumbang kembali apa yang Mara telah beri kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, berada jauh daripada keluarga pada usia yang masih muda bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, Nurul Afiza sendiri berhadapan dengan cabaran apabila berada di negara orang.
Namun, ia tidak menjadi halangan buatnya untuk mengejar cita-cita.
“Cabaran yang saya hadapi adalah untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan cuaca di sini.
“Walaupun pada mulanya saya berhadapan dengan cabaran, namun lama-kelamaan saya dapat menyesuaikan diri,” terangnya.
Sementara itu, Nurul Afiza juga merupakan seorang pelajar yang aktif dengan aktiviti luar bilik kuliah.
Dia turut aktif dengan organisasi Malaysia di UK dan antara pengalaman menarik ialah terlibat dalam penganjuran program yang membawa artis dari Malaysia untuk memberi inspirasi kepada pelajar di sana.
Melalui penglibatannya dalam aktiviti itu, dia dapat mengasah kemahiran komunikasi dan pengurusan kewangan, termasuk mengendalikan aktiviti ‘fundraising’.
Selain itu, dia juga terlibat dengan persembahan tarian tradisional sempena Hari Malaysia di Sheffield untuk mempromosikan budaya kita kepada orang luar.
Apabila ditanya tentang personalitinya, Nurul Afiza menggambarkan dirinya sebagai seorang introvert yang hanya akan bersuara apabila perlu. Namun, itu tidak menghalangnya untuk aktif dan menonjol dalam komuniti.














