fbpx
GLA 250 4MATIC edisi Nightfall menyerlah dengan kemasan hitam berkilat pada pelbagai bahagian luaran dari gril sehingga rim.

SUV kompak berprestasi dengan kemasan hitam berkilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MERCEDES-Benz mengukuhkan kedudukan dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak premium menerusi pengenalan model terkini GLA, jentera yang berdasarkan sejarah menjadi titik permulaan kepada SUV kompak jenama Jerman ini.

Sejak kemunculan generasi pertama pada 2014, GLA yang dibangunkan berasaskan platform hatchback telah dipertingkat dengan karakter SUV yang lebih versatil dan praktikal.
GLA 250 4MATIC edisi ‘Nightfall’ yang dilancarkan pada Mac lalu kini tampil sebagai antara varian yang paling seimbang menggabungkan prestasi dan gaya dalam satu pakej dengan harga RM295,888 atas jalan raya tanpa insurans.

Edisi ‘Nightfall’ menambah elemen visual yang lebih berani dengan sentuhan hitam berkilat yang menyerlahkan karakter sporty dan moden.

Sebelum ini, penulis telah menulis mengenai GLA 200 4MATIC ‘Nightfall’ tetapi kini penulis berpeluang memandu uji GLA 250 4MATIC Nightfall.

Baru-baru ini, penulis bersama beberapa rakan media melakukan pandu uji GLA 250 4MATIC dari Kuala Lumpur ke Cameron Highlands melalui laluan Sungai Koyan, Raub bagi menempuh perjalanan sejauh kira-kira 250 kilometer (km).

Lebih menarik, sesi pandu uji kali ini turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Martin Schulz.
GLA 250 dikatakan jauh lebih berprestasi dan laju berbanding GLA 200 Nightfall yang sesuai untuk pemanduan bandar santai.

Bagi penulis perjalanan ke Cameron Highlands melalui Sungai Koyan merupakan satu pengalaman pemanduan yang benar-benar menguji keupayaan sebuah jentera.

Laluan ini terkenal dengan selekoh tajam, permukaan jalan tidak sekata serta laluan kampung yang sunyi.

Penulis sebagai pemandu amatur bagaimanapun berasa yakin apabila memandu GLA 250 terutama saat enjin 2.0 liter turbo dihidupkan, kuasa SUV ini terasa berbeza.

Ketika berada di Lebuh Raya Karak, karakter SUV ini berubah menjadi lebih stabil dan mantap dengan pecutan terasa lancar serta responsif.

Memasuki laluan Sungai Koyan, selekoh demi selekoh mula mendominasi pemanduan yang mana sistem pacuan semua roda (AWD) atau dikenali 4MATIC memainkan peranan.

Dengan kuasa 224hp dan tork maksimum 350Nm, respons pendikit SUV kompak ini pantas dan bertenaga dengan kebolehan memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 6.8 saat serta kelajuan maksimum 240km/j.

Sistem mild hibrid 48V pula membantu memberikan dorongan tambahan pada kelajuan rendah, menjadikan pecutan terasa lebih lancar yang menyumbang tambahan 14hp dan 150Nm ketika diperlukan.

Cengkaman tayar terasa responsif walaupun ketika mengambil selekoh pada kelajuan sederhana tinggi.

SUV kompak premium yang dilancarkan pada Mac lalu ini mempunyai karakter sporty dan moden.

Kuasa diagihkan secara pintar antara roda hadapan dan belakang, memberikan kestabilan tambahan terutama ketika keluar dari selekoh tajam.

Stereng pula memberikan maklum balas meyakinkan, tidak terlalu berat tetapi cukup untuk membolehkan pemandu mengendalikan GLA 250 dengan baik dan ‘membaca’ struktur permukaan jalan.

Ini penting di laluan seperti Sungai Koyan kerana keyakinan terhadap stereng boleh menentukan tahap keselesaan dan keselamatan pemanduan.

Dari segi suspensi, badan kenderaan dikawal rapi ketika mengambil selekoh berterusan dengan olengan badan yang minimum untuk sebuah SUV.

Seterusnya, sistem brek GLA 250 juga menunjukkan prestasi meyakinkan iaitu dalam situasi menuruni bukit yang panjang, daya membreknya kekal konsisten.

Apabila kabus mula menyelubungi kawasan Cameron Highlands, lampu hadapan adaptif menunjukkan kelebihannya dengan pencahayaan yang jelas dan pintar. Ini membantu meningkatkan pemandangan, sekali gus mengurangkan tekanan ketika memandu dalam keadaan cuaca yang mencabar.

Walaupun GLA berada pada kedudukan paling bawah dalam hierarki SUV Mercedes-Benz, tetapi model ini berjaya memberikan satu pengalaman pemanduan yang jauh lebih matang daripada statusnya sebagai SUV kompak.

Dari segi reka bentuk, edisi Nightfall menampilkan sentuhan visual yang lebih agresif dengan elemen hitam berkilat pada pelbagai bahagian luaran dari gril hadapan hinggalah ke rim.

GLA 250 4Matic tampil lebih menyerlah dengan rim AMG Multispoke bersaiz 20 inci menggantikan elemen krom konvensional.

Meninjau ke ruangan kabin, elemen premium pada jentera ini terasa dengan penggunaan material kombinasi Artico dan Microcut pada tempat duduk pemandu dan penumpang.

Ciri menarik lain ialah tali pinggang keselamatan warna kelabu, paparan berkembar 10.25 inci untuk kluster digital dan sistem infotainmen.

Penyaman udara automatik Thermotronic dan Pakej Parkir dengan kamera 360 darjah dan Active Parking Assist menjadi kelengkapan standard pada model ini.

Sepanjang perjalanan, GLA 250 4MATIC membuktikan bahawa jentera itu bukan sekadar SUV kompak premium, tetapi sebuah kenderaan yang mampu memberikan keyakinan kepada pemandu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN