PETALING JAYA – Kolej Poly-Tech Mara Sdn. Bhd. (KPTMSB) bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kes kematian pelajar kolej yang ditemukan dengan 61 tikaman di Kota Bharu, Kelantan semalam.
KPTMSB dalam kenyataannya berkata, ketika ini, pihak polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian pembunuhan tersebut.
“Warga kampus dan orang ramai dimohon agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan insiden ini bagi menghormati privasi keluarga dan memastikan kelancaran siasatan.
“Maklumat lanjut mengenai perkembangan insiden akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi KPTMSB,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KPTMSB berkata, pihaknya turut menyediakan bantuan dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga mangsa bagi membantu mereka menghadapi saat-saat sukar itu.
“Semoga seluruh keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE














