PETALING JAYA – Pelakon dan pempengaruh Norreen Iman berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap dirinya berhubung kehadirannya ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap suaminya, Raizi Raz baru-baru ini.
Terkejut melihat reaksi orang ramai, Norreen berkata, dia juga tidak sengaja untuk memberi respons sedang lapar ketika ditanya mengenai prosiding tersebut oleh pihak media.
“Hari ini (semalam) buka media sosial, terkedu jugalah. Saya faham ramai prihatin, terima kasih.
“Sebenarnya saya sendiri pun tidaklah mahu buat video begitu, itu bukan saya.
“Saya juga nak jelaskan jawapan ‘saya lapar saja sekarang ini’ adalah kerana memang betul-betul lapar ketika itu,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Jelas Norreen, dia juga lebih selesa untuk tidak berkongsi secara terperinci mengenai semua yang berlaku dalam hidupnya kepada umum.
“Saya rasa tiada keperluan untuk jelaskan semuanya tentang kehidupan sendiri, biarkan saja.
“Saya harap orang ramai dapat hormati keputusan saya untuk tidak berkongsi mengenai kehidupan peribadi.
“Terima kasih atas doa dan nasihat yang menjentik hati, saya sangat menghargainya. Lagi pula, siapalah saya ini tanpa kalian semua,” jelasnya.
Terdahulu, Norreen yang sebelum ini pernah menepis dakwaan rumah tangga bersama Raizi bergolak dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Rabu lalu bagi prosiding tuntutan pengesahan lafaz cerai.
Lengkap dengan persalinan serba hitam, Norreen atau nama penuhnya, Norreen Iman Abdullah, 32, hadir bersama suaminya, Raizi atau Mohd. Raizi Abd Razak bagi prosiding yang dijadualkan berlangsung di hadapan hakim syarie, Nadiah Khamis.
Bagaimanapun, Norreen dan Raizi memilih untuk mengunci mulut dan enggan berkongsi status rumah tangga mereka selepas keluar dari dewan bicara.
“Saya cuma rasa lapar saja sekarang ini,” katanya ringkas kepada media.
Terdahulu, rumah tangga Norreen dan suami didakwa bergolak kerana tidak lagi berkongsi gambar dan kandungan bersama dalam media sosial termasuk pada Hari Raya Aidilfitri pada bulan lalu.
Norreen dan Raizi mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata. – KOSMO! ONLINE














