BANGKOK – Sekurang-kurangnya enam orang cedera dalam insiden tembakan di sebuah majlis perkahwinan di Thailand selepas tetamu kedua-dua pasangan pengantin bertengkar, lapor portal berita Thaiger.
Polis bergegas ke Tha Sala, wilayah Nakhon Si Thammarat selepas menerima laporan sekitar pukul 3.30 pagi (waktu tempatan) kelmarin.
Semua mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, dengan seorang lagi tetamu dikenali sebagai Chakrit, 24, mengalami kesan tembakan di kepala.
Siasatan awal mendapati, dua kumpulan remaja yang merupakan tetamu pasangan pengantin bertengkar sebelum mereka dileraikan.
Polis berkata, kedua-dua kumpulan itu menikmati minuman beralkohol selepas majlis perkahwinan tamat.
Situasi bertambah buruk apabila konfrontasi kedua berlaku dan kedua-dua kumpulan itu melepaskan beberapa das tembakan sehingga mengenai tetamu yang tidak terlibat dalam pertelingkahan tersebut.
Dua suspek utama ditahan di hospital, manakala polis turut merampas dua senjata api daripada mereka.
Siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan. – AGENSI














