ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar pelaksanaan sistem pengangkutan awam khususnya transit rel di Johor Bahru disegerakan bagi menghadapi peningkatan pergerakan rakyat di ibu negeri ini.
Baginda menegaskan, sistem tersebut perlu diintegrasikan dengan Rapid Transit System Link (RTS Link) yang dijadual mula beroperasi pada Januari tahun depan bagi memastikan ketersambungan lebih lancar selain mengurangkan kesesakan trafik.
“Saya ingin tegaskan sistem transit rel di Johor Bahru perlu diintegrasikan dengan RTS Link bagi menjadikan ketersambungan lebih lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan trafik.
“Ia memerlukan perhatian dan sokongan serius daripada kerajaan Persekutuan kerana ini merupakan satu keperluan mendesak bagi memastikan kesiapsiagaan Johor menghadapi peningkatan pergerakan rakyat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Rasmi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15 di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tambah Tunku Mahkota Ismail, segala pertimbangan termasuk aspek ketelusan perlu dipercepatkan supaya sistem pengangkutan awam di negeri ini benar-benar mampu menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, pada Februari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, kerajaan negeri berharap projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) dapat dimulakan segera sekiranya menerima kelulusan.
Menurutnya, pelaksanaan ART boleh dimulakan di jajaran utama terlebih dahulu bagi memastikan kesan segera terhadap kesesakan lalu lintas, selari dengan pengoperasian RTS Link.
“Kawasan Tebrau paling sesak, jadi kita boleh utamakan jajaran ini terlebih dahulu sebelum diperluas ke laluan lain.
“Kerajaan negeri mencadangkan tiga jajaran utama iaitu Tebrau, Skudai dan Iskandar Puteri selain mempertimbang penambahan jajaran di Pasir Gudang,” katanya.-KOSMO! ONLINE














