PETALING JAYA – Bekalan minyak mentah negara bagi tempoh beberapa bulan akan datang berada pada tahap memuaskan meskipun berdepan ketidaktentuan harga global susulan penutupan Selat Hormuz.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang turut meneliti kedudukan semasa bekalan tenaga negara.
“Dalam mesyuarat semalam, ada dibincangkan mengenai bekalan minyak mentah kepada negara kita untuk beberapa bulan yang akan datang. Setakat ini bekalan bagi syarikat minyak nasional, Petronas berada dalam keadaan terkawal.
“Dari segi setakat yang telah dimaklumkan semalam, bekalan terutama untuk pihak Petronas berada pada kadar yang memuaskan bagi bulan Mei dan Jun, insya-Allah tidak ada masalah,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan bagaimanapun memberi perhatian serius terhadap kenaikan harga global melibatkan minyak mentah serta produk seperti RON95 dan diesel susulan situasi di Selat Hormuz.
Sementara itu, katanya, setakat ini tiada perkembangan baharu mengenai kapal milik syarikat Malaysia yang terkandas di kawasan berkenaan.
Ujarnya, situasi tersebut terus dipantau oleh kerajaan berikutan implikasinya terhadap bekalan dan harga minyak global. – KOSMO! ONLINE














