fbpx
AB RAHAMAN menunjukkan dua pucuk senjata api yang digunakan oleh Lek Khang ketika mengadakan latihan pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

Tek Khang tertembak secara tidak sengaja ketika kosongkan senjata – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Polis mengambil keterangan sembilan individu bagi membantu siasatan kes Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Datuk Tan Lek Khang yang cedera selepas tertembak diri sendiri ketika latihan menembak di sebuah lapang sasar di Ladang REM, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, Lek Khang, 40, mengalami kecederaan serius selepas peluru menembusi bahagian dada kirinya.

Katanya, mangsa dipercayai tertembak secara tidak sengaja sewaktu mengosongkan pistol selepas selesai latihan tersebut.

“Berdasarkan keterangan saksi-saksi di lokasi, kejadian itu berlaku semasa mangsa mengendalikan senjata api miliknya sebelum satu das tembakan dilepaskan dan terkena dirinya sendiri.

“Seramai sembilan individu termasuk lima pengawal peribadi, remaja berusia 19 tahun yang juga anak tirinya, jurulatih dan rakan mangsa berada di lokasi tersebut. Kesemua mereka dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri selepas kejadian dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi dan dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan mengeluarkan peluru dari dada.

Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa memiliki lesen sah ke atas dua pucuk pistol dan sepucuk senapang patah bagi tujuan keselamatan dan sukan menembak.

“Polis merampas senjata api jenis Sig Sauer dan Master Piece Arm, kelopak peluru dan peluru yang digunakan semasa latihan untuk siasatan lanjut termasuk analisis forensik dan balistik,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata api tanpa alasan munasabah dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur kecuaian, namun menegaskan siasatan masih di peringkat awal.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Lek Khang selesai menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, malam tadi dan kini dilaporkan berada dalam proses pemulihan.

Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Lek Khang masih belum boleh dilawati sesiapa termasuk ahli keluarga terdekat kerana masih berada dalam fasa pemulihan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN