MUAR – Seorang peniaga berputih mata apabila kerugian RM610,000 selepas terjerat dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang dipromosikan di Facebook awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 49 tahun pada pukul 11.02 pagi, semalam.
Katanya, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa sebelum berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa ditawarkan keuntungan sehingga 750 peratus dan diyakinkan bahawa semua urusan pelaburan tersebut akan diuruskan sepenuhnya oleh ‘broker’.
“Akibat terperdaya dengan janji lumayan itu, mangsa melakukan transaksi ke dalam beberapa akaun bank bermula pada 1 April lalu yang berjumlah RM610,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan. Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang tuntutan insurans miliknya untuk melabur.-KOSMO! ONLINE














