KUALA SELANGOR – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dipercayai lemas selepas terjatuh dan hanyut ke dalam longkang yang berarus deras ketika hujan lebat di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 7.47 malam.
Katanya, pasukan bomba kemudiannya tiba 8.13 malam susulan jarak ke lokasi mengambil masa 25 kilometer.
“Menurut laporan daripada orang awam menyatakan mangsa telah jatuh ke dalam longkang dan hanyut dibawa arus deras ketika hujan lebat dalam kejadian pukul 3.30 petang tadi.
“Kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dilakukan pihak bomba,” katanya malam ini. – KOSMO!ONLINE














