KUALA LUMPUR – Rasa seolah-olah disabotaj, penyanyi Datuk Aishah meluahkan kekesalan apabila penjualan tiket konsert Aishah 40 Chapters Of Love terganggu susulan kegagalan operasi sistem platform.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 61, mengakui insiden tersebut cukup mengecewakan memandangkan persiapan telah dilakukan dengan penuh teliti sejak sekian lama.
“Ketika mula-mula saya tahu, saya menangis. Kami sudah bekerja keras untuk menjayakan konsert ini, terutama pihak pengurusan.
“Saya dimaklumkan oleh rakan dan peminat sendiri. Mereka menunggu berjam-jam dalam barisan, tetapi apabila berjaya masuk, skrin pula memaparkan tiket sudah habis.
“Sedangkan hakikatnya, tiket masih ada. Itu membuatkan saya sangat terkejut, seperti kena ‘hijack’,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di ibu negara.
Tambah pelantun lagu Janji Manismu itu, situasi berlaku menimbulkan tanda tanya dan dia tidak menolak kemungkinan wujud unsur tidak bertanggungjawab.
Aishah bagaimanapun enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada penyelesaian demi peminat.
“Kalau benar tiket habis, saya bersyukur. Tetapi dalam kes ini, tiket masih belum habis dijual. Jika terbukti ada pihak sengaja melakukan perkara seperti ini dan boleh diambil tindakan, saya tahu apa perlu dibuat nanti.
“Kami tidak mahu menyalahkan sesiapa. Apa penting sekarang, jelaskan kekeliruan kepada peminat.
“Ramai menghubungi saya bertanya bagaimana mahu beli tiket sedangkan sistem menunjukkan sudah habis,” ujarnya.
Pemenang Anugerah Juara Lagu 1990 itu juga dimaklumkan, pihak penganjur telah menukar platform jualan tiket kepada vendor baharu bagi memastikan urusan lebih lancar.
“Saya mohon bantuan rakan media untuk hebahkan bahawa jualan tiket kini berpindah ke platform baharu, iaitu Ticketmelon.
“Peminat boleh dapatkan tiket di sana tanpa gangguan seperti sebelum ini,” jelasnya
Konsert Aishah 40 Chapters Of Love bakal berlangsung pada 4 Julai 2026, pukul 8 malam di Megastar Arena sebagai simbolik meraikan empat dekad perjalanan seni penyanyi tersohor tersebut.
Dianjurkan Vox Nation Live, konsert berskala besar tersebut dijangka menjadi momen istimewa dalam sejarah karier Aishah, sekali gus menghimpunkan peminat setia menikmati karya-karya malar segarnya sepanjang lebih 40 tahun bergelar anak seni. – KOSMO! ONLINE.














