JAKARTA – Kekecohan tercetus di puncak Gunung Lawu, Pulau Jawa apabila sejumlah pendaki berebut-rebut untuk merakam gambar di lokasi yang menawarkan pemandangan indah, lapor portal berita Viva semalam.
Dalam satu video tular, sejumlah pendaki dilihat saling menolak ketika mereka membentuk barisan panjang di tengah-tengah kesesakan yang berlaku di puncak gunung itu.
Salah seorang daripada mereka terjatuh dan dipijak oleh pendaki lain, menyebabkan situasi menjadi kecoh.
Kekecohan itu berlaku di Tugu Hargo Dumilah yang merupakan titik tertinggi dan tempat kegemaran pendaki untuk merakam gambar.
Barisan yang padat di ruang sempit disyaki menjadi pencetus utama pergaduhan itu.
Menurut laporan pasukan di lapangan, kejadian itu dicetuskan oleh barisan panjang untuk merakam gambar di Monumen Hargo Dumilah.
“Keletihan dan kekurangan komunikasi turut menyumbang kepada perkara itu,” kata Ketua Operasi pengurusan laluan kembara itu, Titin Riyadiningsih.
Tambahnya, kedua-dua pihak yang terlibat telah kembali dan menyelesaikan perkara itu secara baik dengan bantuan pihak pengurusan.
“Keadaan telah kembali tenang dan telah diselesaikan secara baik,” katanya. – AGENSI














