MARAN – Niat suci untuk menyumbang kepada agama bertukar menjadi tanda tanya apabila sejumlah naskhah al-Quran yang didakwa diwakafkan ditemui dalam keadaan masih baharu, namun menunggu giliran untuk dilupuskan di Kompleks Pemuliaan al-Quran di Chenor, dekat sini.
Penemuan itu mencetuskan persoalan besar tentang bagaimana proses wakaf diuruskan, khususnya apabila melibatkan naskhah al-Quran yang sepatutnya diagihkan kepada umat Islam untuk dimanfaatkan.
Kompleks Pemuliaan al-Quran berkenaan memainkan peranan penting dalam memuliakan al-Quran yang rosak, koyak atau tidak lagi sesuai digunakan melalui kaedah pelupusan khas yang mematuhi garis panduan syarak.
Proses itu melibatkan pembakaran terkawal sebelum abu dihasilkan diproses menjadi kiub berbentuk seperti batu bata dan seterusnya dilupuskan secara tertib di laut.
Namun, situasi di Chenor ini berbeza apabila naskhah yang masih elok dan belum digunakan turut berada dalam senarai untuk dilupuskan.
Perkara itu didedahkan aktivis masyarakat, Salman Al-Farisi Mohamad yang terkejut dengan penemuan tersebut ketika berkunjung ke pusat berkenaan bagi urusan pemurnian al-Quran.
“Saya membuka satu kotak dan mendapati keadaan al-Quran masih baharu. Ada nama-nama individu pewakaf dan berdasarkan nilai yang ditulis jumlah wakafnya kira-kira RM600.
“Pihak pusat berkenaan tidak pasti siapa yang menghantar dan saya kecewa kerana al-Quran baharu itu sepatutnya dimanfaatkan,” katanya kepada Kosmo!.
Dakwanya, al-Quran berkenaan masih baharu dan mempunyai pengesahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan setiap kotak mempunyai 20 naskhah.
Beliau difahamkan, al-Quran berkenaan disimpan sementara sebelum menunggu arahan pihak berkaitan untuk apa-apa tindakan termasuk pengagihan.
Dalam pada itu, Salman yang mengakui sedih dengan keadaan tersebut menegaskan apa yang berlaku itu sebagai bukti kegagalan pihak yang menguruskan wakaf dalam menyampaikan amanah orang ramai.
“Kenapa al-Quran begini diletak harga wakaf sehingga mencecah RM600 tetapi pengurusan harta wakaf dibuat sambil lewa.
“Secara peribadi saya menolak program wakaf al-Quran terutama di Semenanjung Malaysia, begitu juga dengan wakaf al-Quran di Mekah dan Madinah,” katanya.
Dalam pada itu, isu tersebut turut membuka perbincangan lebih luas mengenai keperluan mewujudkan sistem pengurusan wakaf yang lebih telus, tersusun dan berintegriti.
Malah, rata-rata penyumbang turut berharap setiap sumbangan atau wakaf yang diberikan tidak disalahguna sehingga memberi kesan kepada kepercayaan umum terhadap institusi wakaf.
Akhirnya, persoalan paling besar yang timbul adalah sama ada kegagalan ini berpunca daripada kecuaian, kelemahan sistem atau sikap sambil lewa pihak tertentu dalam memikul amanah yang sepatutnya dijaga dengan penuh tanggungjawab.














