fbpx
KEBANYAKAN ibu bapa yang bekerja tidak mempunyai masa untuk menyediakan makanan berkhasiat buat anak-anak. – Gambar hiasan

Generasi muda kenyang, tetapi kurang nutrisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh PROF. TS. DR. CHONG LI CHOO

Di Malaysia, bahasa kasih sayang kita adalah makanan. Soalan mudah, ‘sudah makan?’ adalah nadi keprihatinan kita terhadap satu sama lain. Namun sebagai seorang penyelidik dalam inovasi makanan dan juga ibu kepada dua anak kecil, saya mula mendengar soalan itu dengan rasa berat hati.

Di kantin sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan dapur keluarga di seluruh negara, satu corak yang membimbangkan semakin jelas, anak-anak kita semakin melebar tetapi ramai tidak tinggi.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2024, Malaysia sedang berdepan dengan ‘beban berganda’ malnutrisi yang merupakan satu kecemasan nasional.

Hampir satu daripada empat kanak-kanak kecil di Malaysia mengalami bantut iaitu 24.3 peratus, manakala lebih 30 peratus kanak-kanak usia sekolah mengalami berat badan berlebihan.

Kita menjadi anomali serantau ketika negara jiran seperti Thailand dan Vietnam berjaya mengurangkan kadar bantut, sebaliknya kadar kita menunjukkan kemerosotan.

Kita sering mendengar bahawa ibu bapa perlu membuat pilihan yang lebih baik. Namun sebagai seorang ibu yang turut mengimbangi kerjaya yang mencabar, saya tahu bahawa ‘pilihan’ adalah satu kemewahan dari segi masa dan wang.

Apabila pulang ke rumah selepas hari yang panjang, tenaga untuk menyediakan hidangan berkhasiat dari awal selalunya sudah tiada.

Hakikatnya, kanak-kanak tidak memilih apa yang ada dalam bekal, mereka makan berdasarkan persekitaran yang kita sediakan. Malangnya, bagi ramai keluarga di

Malaysia, persekitaran itu direka untuk kemudahan, bukan semestinya untuk pertumbuhan optimum.

Dalam komuniti yang kurang bernasib baik, ia sering menjadi soal kelangsungan hidup. Kajian menunjukkan bahawa pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah lebih cenderung mengambil makanan murah tetapi kurang berkhasiat seperti mi segera yang memberi rasa kenyang segera dengan kos lebih rendah berbanding hidangan seimbang.

Keluarga ini bukan ‘memilih’ kesihatan yang buruk, mereka memilih hidangan RM2 panas, mengenyangkan dan sesuai dengan bajet semakin mengecil.

KANAK-KANAK lebih gemar menjamah makanan segera.

Walaupun makanan berasaskan kanji ini memberi tenaga segera, namun ia kekurangan protein, zat besi dan kalsium yang penting untuk perkembangan otak serta tulang kanak-kanak.

Akibatnya, seorang kanak-kanak boleh berlebihan berat badan kerana kalori, tetapi bantut sebab kekurangan nutrien.

Menariknya, paradoks ini juga wujud di kawasan berpendapatan tinggi seperti Putrajaya. Walaupun kadar kemiskinan di Putrajaya adalah antara yang terendah di negara ini, kadar bantutnya adalah 24.3 peratus, setara dengan beberapa negeri berpendapatan rendah.

Pakar daripada Kementerian Kesihatan Malaysia merujuk kepada fenomena yang saya panggil sebagai ‘keletihan ibu bapa bekerja’.

Di bandar di mana hampir 80 peratus isi rumah mempunyai ibu bapa yang bekerja, waktu makan sering diserahkan kepada pusat jagaan dengan rutin pemakanan tidak dikawal atau makanan segera. Kita bukan gagal sebagai ibu bapa, tetapi kita beroperasi dalam sistem di mana pilihan mudah jarang sekali padat nutrisi.

Penyelesaiannya adalah dengan mengubah makanan itu sendiri. Kita perlu berhenti melihat kemudahan sebagai musuh. Pasaran perlu menawarkan kemudahan yang benar-benar menyuburkan bagi menyokong pertumbuhan, pembelajaran dan perkembangan menyeluruh.

Malaysia telah menunjukkan kemajuan, seperti larangan 12 kategori makanan ringan di kantin sekolah pada tahun lalu. Namun untuk benar-benar melindungi generasi akan datang, kita perlu melangkah lebih jauh.

Daripada teori kepada amalan:
Kurikulum Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) kita adalah permulaan yang baik, tetapi kita boleh mencontohi elemen model Shokuiku dari Jepun. Ini bermaksud, kita menjadikan makan tengah hari di sekolah sebagai kelas praktikal, iaitu murid bukan sekadar membaca tentang vitamin tetapi mempelajari kemahiran hidup membina hidangan seimbang.

Sekolah juga boleh melibatkan ibu bapa dalam pemilihan dan penyediaan makanan bersama anak-anak, sejajar dengan Garis Panduan Diet Malaysia 2023. Organisasi kesihatan dan makanan boleh menyokong dengan ceramah interaktif serta pertandingan memasak ibu bapa.

Memperkasa pasaran:
Industri makanan perlu digalakkan untuk beralih daripada penggunaan ‘pengisi’ (bahan murah yang menambah isi padu atau tekstur) kepada makanan mudah yang padat nutrien dan mampu milik, khusus untuk realiti kehidupan bandar moden. Contohnya, hidangan sedia dimakan yang mempunyai kepadatan nutrisi tinggi untuk merapatkan jurang antara pemakanan dan kemudahan.

Dasar perlindungan:
Walaupun tidak selalu disedari oleh orang dewasa, namun kanak-kanak terdedah secara berterusan kepada pemasaran tidak kelihatan di media sosial.

Kajian menganggarkan bahawa kanak-kanak melihat iklan makanan tidak sihat sehingga 30 kali seminggu, sering melalui pengaruh influencer dan kandungan media sosial yang membentuk selera mereka sebelum memahami konsep kalori.

Apabila seorang kanak-kanak duduk untuk makan, pilihan di atas pinggan mereka mencerminkan dunia yang kita bina. Jika kita mahu generasi akan datang membesar dengan lebih sihat, kita perlu memastikan bahawa pilihan yang ‘mudah’ juga merupakan pilihan yang sihat.

Sempena Bulan Pemakanan Kanak-Kanak Sedunia pada bulan ini, marilah kita memimpin melalui teladan. Anak-anak kita sedang membesar. Pastikan mereka membesar dengan baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN