PETALING JAYA – Sikap keprihatinan seorang pemandu berhenti di tengah-tengah kesesakan lebuh raya bagi membantu sebuah kereta lain yang mengalami kerosakan mendapat pujian orang ramai di media sosial.
Menerusi rakaman papan pemuka (dashcam) yang dimuat naik di Threads oleh Aathirahrosli, kejadian tersebut memaparkan pemandu berkenaan bertindak pantas turun daripada kenderaannya sebaik menyedari sebuah kereta tersadai di lorong kiri lebuh raya.
Menurutnya, dia menyifatkan tindakan lelaki itu sebagai satu usaha murni yang memudahkan urusan pengguna jalan raya yang lain.
“Terima kasih abang sebab tolong. Awak bertindak sangat pantas, semoga trafik selalu hijau dan dimewahkan rezeki.
“Kepada abang yang keretanya rosak, semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut memuji keberanian dan sikap toleransi pemandu tersebut kerana keadaan jalan raya ketika itu agak sibuk dan berbahaya.
“Seram aku tengok lorong kanan, motor semua laju-laju,” ujar Adibzeinuddin.
“Ramai lagi kat Malaysia ni orang-orang baik. Saya memang respect (hormat) pada abang,” tambah Zamri3463 pula. – KOSMO! ONLINE














