PETALING JAYA – Bukan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Alphard atau Vellfiire tetapi sebaliknya mekanik dikenali sebagai Abang Minyak Hitam Jalanan memilih sebuah lori sebagai kenderaan baharunya.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, mekanik yang dikenali sebagai Usop itu memilih sebuah lori yang telah diubah suai sebagai ‘bengkel’ bergerak.
Jelasnya, keputusan itu dibuat bagi memudahkan dia menjalankan kerja-kerja pembaikan di lokasi-lokasi terpilih selepas ini.
“Kami dah ‘on’ (buka bengkel) pakai lori pada 27/4/2026 (semalam), Lokasi 2 petang sampai 5 petang di tasik Ikea Damansara dan malam kami di Taman Kota Petaling Jaya dan Kota Damansara 7 malam sampai 10 malam,”tulisnya.
Pada hantaran itu juga, Usop turut berterima kasih kepada keluarganya yang telah banyak berkorban selama ini.
“Doa seorang ibu dan isteri, kalau tak ada dia mungkin aku takde di tahap ini terima kasih sebab selalu ada susah dan senang, simpan gambar ini buat kenangan. Rezeki Milik Allah SWT,”katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mendoakan agar perniagaan mekanik itu semakin maju dan dimurahkan rezeki selalu.
“Semoga terus maju jaya,orang baik Allah sayang .teruskan berkhidmat untuk masyarakat bang,”komen Mohd Radzi Arbain.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Firzan.
“Slalunya orang angkat Alphard atau Vellfire. Tapi abang pilih lori untuk pekerjaaan, terbaik,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE














