KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin untuk lima pertuduhan rasuah yang dihadapi dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Noor Ruwena Mad Nurdin memutuskan demikian selepas mendapati Shamsul Iskandar selaku pemohon tidak memenuhi syarat mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.
“Memandangkan undang-undang mengenai isu ini telah pun jelas, saya tidak melihat sebarang alasan untuk menyimpang daripada preseden (nas undang-undang) kehakiman yang telah ditetapkan, sebahagiannya bersifat mengikat. Saya tidak mendapati pemohon telah memenuhi kehendak Seksyen 417. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya.
Terdahulu Shamsul Iskandar memfailkan permohonan itu pada 4 Februari lalu di Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan dokumen antara alasan-alasan ringkas untuk memindahkan kes itu ialah terdapat persoalan dan isu undang-undang yang luar biasa dan melibatkan keperlembagaan peruntukan-peruntukan di bawah akta SPRM 2009 dan hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan seterusnya Mahkamah Persekutuan.
“Kes ini merupakan kes kepentingan awam yang melibatkan pertuduhan-pertuduhan ke atas mantan Setiusaha Politik Kanan Perdana Menteri selain permohonan ini tidak memprejudiskan mana-mana pihak,” kata dokumen tersebut.
Sementara itu, menerusi afidavit sokongan, Shamsul Iskandar memaklumkan pertuduhan-pertuduhan terhadapnya, melibatkan persoalan-persoalan undang-undang dan isu-isu yang kompleks.
Antaranya pemakaian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) bagi kes-kes melibatkan sumbangan politik, pentafsiran istilah undang-undang yang teknikal di mana kepakaran dan pengalaman Hakim Mahkamah Tinggi akan memainkan peranan penting semasa perbicaraan.
“Saya juga telah dinasihati oleh peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak akan mendapat peluang untuk merayu kepada Mahkamah yang tertinggi di Malaysia iaitu Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan secara mutakhir terutama perkara-perkara yang melibatkan keperlembagaan peruntukan-peruntukan di bawah ASPRM,” menurut afidavit sokongan itu.
Pada 4 Disember tahun lalu, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah.
Sehari selepas itu, Shamsul Iskandar didakwa lagi atas satu pertuduhan serupa di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – KOSMO! ONLINE






