fbpx
Gambar hiasan.

Jangan ghairah kejar kandungan di Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Jemaah haji diingatkan supaya tidak terlalu ghairah menghasilkan kandungan atau content media sosial sepanjang berada di Tanah Suci hingga mengabaikan tujuan utama ibadah.
Peringatan itu dibuat susulan trend jemaah yang lebih memberi tumpuan kepada rakaman video dan gambar untuk media sosial berbanding penghayatan ibadah haji.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tabung Haji (TH), Shahrin Awaluddin berkata, jemaah haji khususnya generasi usia muda tidak wajar mensia-siakan peluang berharga menunaikan ibadah haji yang wajib sekali seumur hidup hanya terlalu leka dengan media sosial.

Katanya, pertambahan dalam kalangan anak muda untuk menunaikan ibadah haji merupakan satu perkara positif, namun setiap jemaah perlu memahami tujuan pelaksanaan haji.

“Media sosial bukan tidak penting, tetapi jangan berlebihan hingga menyebabkan lalai ketika melaksanakan ibadah. Gunakanlah teknologi secara berpada-pada dan utamakan ibadah sepanjang berada di Mekah dan Madinah.

“Setiap tahun kita menasihatkan perkara ini kerana apabila berada di Tanah Suci, jemaah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah haji dan bukan melaksanakannya secara sambil lewa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, pelaksanaan ibadah haji bukan bertujuan untuk mengejar gelaran haji dan sekadar melengkapkan rukun, sebaliknya perjalanan terakhir bagi mengubah diri daripada kurang baik kepada lebih baik.

Katanya, matlamat akhir pelaksanaan haji adalah untuk mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat, selari dengan konsep Maqasid Haji yang menekankan pembentukan insan yang beriman dan berakhlak.

“Sebelum ini mungkin ada kelemahan, dan inilah masanya untuk bertaubat serta memperbanyakkan doa kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, setiap amalan dilakukan di Tanah Suci merupakan saat penting untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki hubungan spiritual seorang Muslim.

Katanya, antara ibadah yang memerlukan tumpuan penuh ialah tawaf, saie dan melontar jamrah kerana ia menuntut kehadiran fizikal, mental serta penghayatan rohani.

Tambah beliau, jemaah disaran memanfaatkan peluang menunaikan dengan memperbanyakkan doa, zikir dan ibadah agar pengalaman berada di Tanah Suci memberi kesan dalam kehidupan mereka selepas pulang ke tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN