SHAH ALAM – Sebanyak 1,222 kes tuberkulosis (tibi) direkodkan di Selangor sehingga 4 April lalu, dengan lima daerah mencatatkan jumlah kes tertinggi di negeri ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, daerah terbabit ialah Petaling dengan 321 kes, diikuti Hulu Langat (302 kes), Gombak (199 kes), Klang (192 kes) dan Sepang sebanyak 63 kes.
“Kerajaan negeri telah memperkenalkan Inisiatif Insentif Rawatan Tibi Negeri Selangor bagi memastikan pesakit terus komited menjalani rawatan sehingga sembuh.
“Menerusi Inisiatif ini, pesakit tibi yang menjalani rawatan tibi secara berterusan sehingga pulih akan menerima insentif kewangan berjumlah sehingga RM800,” katanya pada sesi penggulungan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Terdahulu, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) meminta penjelasan berhubung status penyakit tibi di Selangor pada sesi perbahasan menjunjung titah Sultan Selangor.
Jamaliah berkata, seramai 190 pesakit telah menerima manfaat di bawah insentif berkenaan setakat 31 Mac lalu, dengan kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi meneruskan inisiatif itu pada tahun ini.
Mengulas cadangan Wong Siew Ki (PH-Seri Kembangan) berhubung saringan kesihatan penjawat awam dan Ahli Dewan Negeri, Jamaliah memaklumkan seramai 22,347 penjawat awam Selangor telah menjalani saringan menerusi Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi (MYPSYD).
“Daripada jumlah itu didapati 82 pegawai (0.37 peratus) berisiko tinggi, 8,341 (37.17 peratus) berisiko sederhana dan 14,014 (62.46 peratus) pula berisiko rendah.
“Kesemua 82 pegawai berisiko tinggi sedang menjalani sesi psikoterapi dan kaunseling bersama Pegawai Psikologi
daripada Unit Cawangan Pengurusan Kaunseling dan Psikologi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














