SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri Pulau Pinang membangkitkan kebimbangan berhubung jurang ketara antara harga lantai sayur yang rendah di peringkat ladang berbanding harga jualan yang tinggi di pasaran, dipercayai berpunca daripada tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zinol berkata, pihaknya menerima rungutan daripada petani mengenai situasi tersebut yang dilihat menekan golongan pengeluar.
“Sebagai contoh, harga cili di peringkat ladang mencecah sekitar RM3.50 sekilogram, namun dijual sehingga RM15 sekilogram di pasaran.Kita mendapat rungutan hari ini, hasil pertanian harga lantai agak rendah tapi harga di pasaran tinggi.
“Jadi saya telah minta Pejabat Pertanian dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk bertindak lebih efektif, berbincang macam mana untuk menyelamatkan petani-petani agar harga kita boleh ambil (harga) daripada petani lebih mahal sedikit dan juga harga yang lebih murah sedikit, bergantung kepada situasi pasaran.
“Saya nampak mungkin ada kepentingan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan. Belian di ladang murah dan harga di pasaran tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Bersama Agensi MMK Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan di Bagan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














